SHAH ALAM – Sidang Kemuncak Tergempar Pemimpin Arab dan Islam di Doha pada Isnin memberi isyarat jelas ke arah pembentukan satu pakatan ketenteraan negara-negara Islam dalam menghadapi ancaman Israel dan campur tangan kuasa Barat di Asia Barat.
Penulis dan aktivis yang kini menyertai misi Flotila, Zainal Rashid Ahmad berkata, idea itu dilihat luar biasa kerana cadangan itu dikemukakan oleh Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani, sekali gus menjadikan persidangan kali ini membawa satu naratif baharu bahawa pakatan ketenteraan di kalangan negara Arab akan dibina.
Menurutnya, umum mengetahui bahawa Iraq adalah sebuah negara yang sering dikaitkan berada di bawah pengaruh Amerika Syarikat selepas kejatuhan Saddam Hussein dan penjajahan kuasa itu sehingga 2011.
“Ini signal yang jelas, di mana kalau Barat membiarkan Israel bermaharajalela dan mengganggu negara-negara Asia Barat dan dalam keadaan terjejas. Kalau bentuk pakatan ini, bererti mereka akan mula mengalih haluan perniagaan mereka dengan membeli senjata daripada Rusia dan China. Itu jelas.
“Saya fikir, ini bagus. Sidang kali ini yang terhebat kerana pertama kali datang idea yang dulu pernah dicadangkan tapi tak dilaksanakan tetapi kali ini kelihatannya perlu dilaksanakan kerana Israel dah serang Lebanon, Syria, Iran dan Qatar,” katanya dalam perkongsian video di TikTok kutubkhanahbangsa.
Sidang Kemuncak Tergempar Pemimpin Arab dan Islam diadakan di Doha bagi mengecam serangan Israel terhadap pemimpin Hamas di ibu negara Qatar.
Sidang itu bukan sahaja menuntut gencatan senjata segera, malah menekankan keperluan mengaktifkan mekanisme pertahanan bersama serta mempertimbangkan penubuhan pakatan ketenteraan Islam sebagai tindak balas terhadap tindakan agresif Israel di rantau berkenaan.
Tambah Zainal Rashid, pakatan tersebut akan membolehkan negara-negara Islam membina kekuatan pertahanan sendiri tanpa bergantung kepada Barat.
Katanya, China memiliki persenjataan luar biasa seperti dibuktikan oleh Pakistan dalam konfliknya dengan India, manakala Iran mempunyai teknologi peluru berpandu hipersonik.
“Mereka juga boleh memberikan sokongan kepada teknologi yang sudah ada pada Iran. Ini bererti semua negara boleh membangunkan tenaga peluru berpandu hipersonic yang dimiliki oleh Iran.
“Semua orang boleh menyokong jet pejuang generasi ke-6 KAAN yang dikeluarkan oleh Turkiye. Jadi, negara-negara Islam bukan hanya perlu bergantung. Kalau negara-negara Islam bersatu, kita boleh membina empayar ketenteraan sendiri," katanya.
Beliau menambah, Turkiye baru-baru ini turut mengumumkan pembinaan kapal sepanjang 400 meter yang boleh membawa jet pejuang berteknologi tinggi, langkah yang disifatkan mampu meletakkan negara Islam sebaris dengan kuasa besar lain.
“Turkiye mengumumkan mereka akan membuat kapal yang membawa jet pejuang. Mereka dah ada jet generasi ke-6 KAAN itu.
“Hari ini mereka umumkan kapal sepanjang 400 meter, yang pertama kali akan menjadi kapal yang boleh keluar daripada perairan Turkiye dan membawa jet-jet pejuang berteknologi tinggi, sama seperti dilakukan negara-negara yang selama ini memperlekeh dan menekan Islam,” katanya.
Zainal Rashid berkata, mesej daripada sidang kemuncak di Doha itu sangat jelas, iaitu negara Islam tidak lagi perlu bertolak ansur, sebaliknya harus segera merealisasikan cadangan Perdana Menteri Iraq untuk membentuk pakatan ketenteraan bersama.
“Saya fikir, ini adalah idea yang jelas dan terbaik. Kita harap akhirnya idea ini terlaksana dengan segera. Qatar menganjurkan satu pertemuan pula untuk membolehkan negara-negara yang mahu menyertai pakatan ketenteraan,” katanya.