Mayat pemandu jengkaut tertimbus batu kuari ditemui selepas empat hari

Iklan
Mayat pemandu jengkaut yang tertimbus dalam kejadian runtuhan batu kuari di Ulu Gali, Sungai Ruan berjaya ditemui pasukan penyelamat pada Selasa.

RAUB - Selepas empat hari usaha mencari digerakkan, mayat pemandu jengkaut yang tertimbus dalam kejadian runtuhan batu kuari di Ulu Gali, Sungai Ruan di sini Sabtu lalu berjaya ditemui pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, mayat Mohammad Fazrul Illahi Ab Rahman, 30, beralamat dari Tanah Merah, Kelantan ditemui jam 4.15 petang pada kedudukan kira-kira 40 meter dari jarak mangsa dipercayai terjun semasa kejadian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mayat mangsa yang ditemui tertimbus pada kedalaman kira-kira lima meter berjaya dibawa keluar jam 5 petang dan telah dibawa ke Hospital Raub untuk proses bedah siasat.

"Susulan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keempat ditamatkan jam 5.30 petang," katanya.

Iklan

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, operasi SAR hari keempat disertai 69 anggota dari pelbagai agensi dengan dibantu pekerja kuari.

"Operasi bermula jam 8 pagi dengan melakukan aktiviti pemecahan bongkah batu bagi persediaan menarik tanah di kawasan pencarian ke bawah.

Iklan

"Pengalihan batu-batu diselangi dengan pencarian menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bomba dan polis," katanya.

Jelasnya, dianggaran 30 metrik tan batu dialihkan menggunakan dua jengkaut milik kuari.

"Aktiviti memecah dan membuang bongkahan batu melibatkan kawasan berkeluasan 60 kaki persegi hari ini manakala keluasan keseluruhan 140 kaki persegi," ujarnya.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 12.50 tengah hari Sabtu lalu, mangsa dikatakan sedang mengendalikan jengkaut sebelum bongkah batu runtuh secara tiba-tiba lalu menghempap jentera berat berkenaan.

Kejadian turut melibatkan tiga pekerja kuari warga asing namun ketiga-tiga mereka terselamat.

Beberapa pekerja yang menyaksikan kejadian itu mendakwa mangsa sempat melompat keluar daripada jentera untuk menyelamatkan diri namun tidak sempat mengelak runtuhan batu yang kemudian menimbusnya.