Banjir Sabah: TPM arah pemasangan segera jambatan Bailey

Iklan
Ahmad Zahid

BUTTERWORTH - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan pemasangan segera jambatan keluli bermodular (Bailey Bridge) di Sungai Kaiduan, Papar, Sabah selepas jambatan di kawasan itu runtuh akibat banjir sehingga memutuskan hubungan penduduk setempat.

Menurut beliau, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah menyalurkan tiga unit stok jambatan Bailey kepada kerajaan negeri Sabah pada tahun lalu sebagai langkah kesiapsiagaan logistik menghadapi bencana.

Iklan
Iklan

“Sehubungan itu, saya memohon Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) yang memiliki kepakaran untuk segera melaksanakan pemasangan jambatan Bailey di kawasan terjejas,” katanya pada sidang akhbar, Selasa.

Sebelum itu, Ahmad Zahid menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Asia Ocean Resources Sdn Bhd dengan Penang Port Sdn Bhd di Dermaga Dalam, Pelabuhan Pulau Pinang.

Iklan

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, selain usaha tersebut, JKR Sabah turut menumpukan kerja-kerja baik pulih infrastruktur di Jalan Penampang-Tambunan yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh.

"Kerja-kerja pembersihan runtuhan, penstabilan cerun dan pembaikan segera turut dipergiat, termasuk pembinaan semula jambatan gantung, tembok penahan cerun di kawasan perumahan serta jalan yang runtuh," tambahnya.

Iklan

Dalam pada itu, beliau menjelaskan peruntukan RM10 juta bagi membantu mangsa banjir dan tanah runtuh di Sabah bukan hanya dalam bentuk bantuan tunai kepada keluarga terjejas, malah untuk pembinaan rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).

“Kita akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Bencana peringkat daerah dan negeri (Sabah) bagi mengenal pasti jumlah sebenar keluarga yang memerlukan pembinaan rumah baharu melalui peruntukan RM10 juta yang diumumkan Perdana Menteri,” katanya.

Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat yang menyalurkan bantuan kemanusiaan berupa makanan, barangan keperluan harian, selimut, tilam, bantal serta sokongan logistik kepada mangsa banjir di Sabah.

"Ketua Pengarah Nadma bersama Setiausaha Persekutuan Sabah (SUP) juga telah turun padang bagi membantu menyelaras pengurusan bencana.

“Saya mendoakan agar semua negeri yang ditimpa musibah banjir ini segera pulih dan penduduk dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa dalam masa terdekat,” katanya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan seramai 2,468 mangsa banjir daripada 656 keluarga berada di 19 pusat pemindahan sementara (PPS) dan satu pusat pemindahan kekal (PPK) di Beaufort setakat jam 8 pagi, Selasa.

Tanah runtuh yang berlaku sejak Jumaat lalu di Sabah turut meragut 13 nyawa.