Tiga lelaki ditahan simpan bangkai harimau belang

Iklan
Penemuan bangkai harimau belang dipercayai diburu secara haram di dalam kereta Perodua Alza. Foto kecil: Rosli.

MERSING - Cubaan tiga lelaki menyimpan bangkai seekor harimau belang berjaya dipatahkan dalam Operasi Bersepadu Khazanah di Felda Tenggaroh di sini pada Selasa.

Serbuan dilakukan Unit Risikan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Bukit Aman bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor hasil maklumat awam mengenai kegiatan pemburuan haram.

Iklan
Iklan

Komander Pasukan Simpanan Persekutuan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC) Rosli Md Yusof berkata, pasukan risikan FRU mulanya melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta Perodua Alza.

Beliau berkata, pemeriksaan menemukan bangkai seekor harimau belang (Panthera Tigris Jacksoni) yang dipercayai diburu secara haram.

Iklan

"Susulan itu, tiga lelaki berusia 28 hingga 49 tahun ditahan selepas didapati gagal mengemukakan sebarang permit khas untuk memiliki atau menyimpan spesies dilindungi sepenuhnya itu.

"Turut dirampas dalam operasi berkenaan ialah bangkai harimau belang tersebut, sebuah Perodua Alza dan empat telefon bimbit pelbagai jenama," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Katanya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing untuk dokumentasi serta tindakan lanjut.

"Siasatan awal mendapati nilai keseluruhan rampasan termasuk haiwan, kenderaan dan peralatan komunikasi dianggarkan berjumlah RM294,007.

"Harimau belang itu juga dilaporkan mengalami kecederaan serius dipercayai akibat jerat selain enam kesan tembakan di kepala yang menjadi punca kematian," katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek kini direman oleh Perhilitan Johor untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 70 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Tegasnya, pihaknya memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti pemburuan atau pemerdagangan hidupan liar.

"Harimau belang adalah khazanah negara yang tidak ternilai, kehilangannya akibat kerakusan manusia merupakan pengkhianatan kepada warisan bangsa.

"FRU akan terus berada di barisan hadapan berganding bahu dengan agensi sahabat untuk mempertahankan khazanah negara dan komited membanteras pemburuan haram tanpa kompromi demi kelestarian alam dan generasi akan datang," katanya.