MADRID – Kerajaan Sepanyol secara rasmi membatalkan kontrak besar bernilai hampir 700 juta euro (RM3.45 bilion) bagi pembelian pelancar roket buatan Israel pada 9 September 2025, susulan bantahan keras terhadap serangan rejim Zionis di Gaza.
Menurut dokumen rasmi yang dilihat agensi berita AFP, kontrak tersebut melibatkan pembelian 12 sistem pelancar roket SILAM berasaskan teknologi syarikat Israel, Elbit Systems, yang dianugerahkan kepada konsortium firma Sepanyol pada Oktober 2023.
Iklan
Iklan
Sekiranya diteruskan, Elbit dijangka menerima sekitar 150 juta euro (RM741 juta) daripada projek itu.
Selain itu, Sepanyol turut memuktamadkan pembatalan kontrak lain bernilai 287 juta euro (RM1.42 bilion) bagi 168 pelancar peluru berpandu anti-tangki yang dibangunkan dengan lesen syarikat Israel.
Tindakan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Pedro Sánchez, mengumumkan dekri baharu yang mengharamkan sebarang urus niaga jual beli peralatan ketenteraan dengan Israel, sebagai bantahan terhadap apa yang digelar kerajaan beliau sebagai “genosid di Gaza”.
Kerajaan turut mengesahkan semakan menyeluruh sedang dilakukan untuk menghapuskan sepenuhnya penggunaan senjata dan teknologi Israel daripada angkatan tentera Sepanyol.
Langkah tegas Madrid ini sekali lagi menonjolkan Sánchez sebagai antara pemimpin Eropah paling lantang mengkritik dasar Israel di Gaza, selepas beliau sebelum ini menuduh Tel Aviv melakukan 'genosid' serta mengiktiraf negara Palestin pada 2024.