MELAKA - Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan tidak melakukan provokasi sekiranya terserempak dengan hidupan liar susulan kemunculan seekor buaya yang dipercayai daripada spesies buaya tembaga (Crocodylus porosus) di Sungai Paya Luboh di sini pada Isnin.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka, Petra Sulai berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu pada jam 2 petang daripada Ketua UMNO Cawangan Paya Luboh merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Mohamad Shafik Safarizan.
Menurutnya, penampakan buaya berlaku kira-kira jam 1 petang hari sama sebelum aduan rasmi dikemukakan kepada Perhilitan.
“Susulan aduan itu, seramai enam anggota telah digerakkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan. Bagaimanapun, tiada kelibat buaya ditemui semasa rondaan dilakukan.
“Hasil siasatan mendapati buaya berkenaan dipercayai tersesat ke Sungai Paya Luboh berikutan paras air sungai tinggi yang memudahkan pergerakannya dari habitat asal di Sungai Lereh,” menurut kenyataan itu.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan kelibat seekor buaya dianggarkan sepanjang 1.5 meter muncul di sungai tepi sawah, Paya Luboh, Tangga Batu.
Kehadiran reptilia itu mula disedari sekitar jam 12 tengah hari oleh sekumpulan pemancing yang sedang menangkap ikan di tebing sungai berkenaan.
Petra berkata, Sungai Paya Luboh bukan habitat semula jadi buaya kerana lazimnya mengalami air surut sehingga menampakkan pasir, menjadikannya tidak sesuai untuk didiami spesies berkenaan.
Katanya, berdasarkan gambar yang dikemukakan penduduk, buaya itu dianggarkan berukuran 1.5 meter namun jantina, umur dan keadaan fizikal haiwan berkenaan masih belum dapat dipastikan.
“Perhilitan akan meneruskan rondaan pemantauan dan rondaan termasuk pada waktu malam di kawasan sungai berkenaan serta sungai-sungai berhampiran bagi memastikan keselamatan penduduk dan memantau pergerakan buaya.
“Orang ramai adalah dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak melakukan
provokasi,” katanya.
Ujarnya, sebarang kejadian berkaitan hidupan liar hendaklah dilaporkan segera kepada pihak kami melalai talian hotline 1-800-88-5151 atau menerusi e-aduan di www.wildlife.gov.my.