Mengejutkan apabila Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan beliau menjadi mangsa ugutan penyebaran video lucah palsu berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Ingatkan beliau sahaja, rupanya ramai lagi pemimpin politik turut mendakwa menjadi mangsa penyebaran video lucah palsu yang menggunakan teknologi tersebut.
Mereka termasuklah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi.
Adab dan etika teknologi di negara kita nampaknya sudah 'ke laut'. Teknologi sepatutnya menjadi pemudah cara hidup manusia, namun malangnya ia kini turut disalahgunakan untuk tujuan kotor.
Inilah bukti bahawa dunia digital sedang berdepan cabaran baharu yang bukan sahaja mengaibkan, malah boleh menggugat keyakinan terhadap seseorang individu.
Merak Jalanan risau ramai tidak mampu mendepani fitnah yang sangat mudah dicipta untuk menjatuhkan seseorang biarpun ia hanyalah palsu. Paling membimbangkan, orang ramai lebih mempercayai fitnah yang tersebar, tidak selidik atau tabayyun terlebih dulu.
Memang benar bagai dikata bahawa kalau tak buat perkara terkutuk itu kenapa nak takut. Masalahnya, jika tak dibendung dari sekarang, Merak Jalanan risau kehidupan generasi akan datang. Kalau YB boleh kena, apa lagi rakyat biasa.
Sudah sampai masanya pihak berkuasa memperketat undang-undang jenayah siber ini serta mengambil tindakan tegas terhadap dalang di sebalik fitnah berbentuk digital ini.
Rakyat juga perlu matang, menilai sumber maklumat dengan bijak dan tidak menjadi penyambung tangan jahat di media sosial. Janganlah kita biarkan teknologi AI menjadi senjata pemusnah reputasi. Ingat, fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh!