Anwar desak negara Arab-Islam putus hubungan dengan Israel

Iklan
Anwar ketika berucap pada Sidang Tergempar Arab-Islam di Doha pada malam Isnin.

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kecaman dan pengisytiharan semata-mata tidak akan menghentikan peluru berpandu Israel mahupun membebaskan Palestin.

Beliau berkata, tindakan seberat-beratnya mesti dilaksanakan dengan segera termasuk menghentikan pertemuan diplomatik dan memutuskan hubungan perdagangan dengan Israel.

Iklan
Iklan

“Rakyat kita telah menjadi letih dengan kata-kata. Mereka telah menyaksikan kita mengeluarkan kecaman demi kecaman, pengisytiharan demi pengisytiharan, namun Israel terus bertindak sesuka hati.

“Generasi akan datang akan bertanya sama ada kita menemui keberanian untuk bertindak,” katanya ketika berucap pada Sidang Tergempar Arab-Islam di Doha, pada Isnin.

Iklan

Beliau menambah, negara-negara Arab-Islam yang mempunyai hubungan istimewa dengan Amerika Syarikat (AS) memikul tanggungjawab tertentu apabila Israel membalas usaha dialog dengan tindakan ketenteraan.

“Apabila Amerika mencari dialog dengan Iran, Israel menjawab dengan bom. Apabila Washington menggalakkan mediasi dengan Hamas, Israel menyerang Doha,” jelasnya.

Iklan

Menurut beliau, sebuah flotila pada Isnin sekali lagi berlayar ke arah Gaza membawa janji bantuan kemanusiaan untuk rakyat yang disekat, bukannya alat perang.

“Ia adalah misi rahmah, dan kita mesti melakukan segala kekuatan kita agar ia sampai ke pantai. Membiarkannya dipulangkan dengan keganasan adalah mengkhianati amanah nurani kita untuk mempertahankan yang lemah, melindungi yang tertindas dan memberi makanan kepada yang lapar,” katanya.

Anwar menegaskan, Malaysia terus mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha yang disifatkan biadab, tidak berperikemanusiaan, melanggar undang-undang dan tidak boleh dipertahankan.

Menurutnya, tindakan itu adalah serangan terhadap kedaulatan Qatar, pelanggaran undang-undang antarabangsa serta provokasi tidak bertanggungjawab yang membahayakan keselamatan rantau tersebut.

Beliau berkata, keseriusan kekejaman itu lebih mendalam kerana Qatar memainkan peranan penting sebagai perantara damai di bawah kepimpinan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, yang berusaha dengan sabar dan bijaksana memupuk dialog.

“Untuk menyerang Qatar adalah dengan terang-terangan mensabotaj usaha-usaha tersebut untuk keamanan. Serangan itu mesti dianggap sebagai serangan terhadap kita semua,” tegas Anwar.

Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh penderitaan berterusan rakyat Gaza yang terpaksa menanggung kemusnahan luar biasa dengan kehilangan keluarga, hospital runtuh dan kanak-kanak tertimbus di bawah runtuhan.

“Di Tebing Barat, politik penjajahan dan perampasan tanah terus berterusan tanpa halangan. Kekejaman itu telah berkembang kepada serangan dan pengeboman di Lubnan, Syria, Yaman dan Iraq sehinggalah serangan ke atas Iran.

“Corak ketidakpatuhan undang-undang ini menunjukkan pengabaian mutlak terhadap asas peradaban dan sistem antarabangsa,” katanya.

Beliau memberitahu, Israel telah mengisytiharkan bahawa Palestin tidak akan pernah wujud sebagai sebuah negara.

“Ia adalah pengisytiharan apartheid kekal serta penolakan terhadap setiap resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan hak menentukan nasib sendiri,” katanya.