SHAH ALAM – Beberapa sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) meminta doa orang ramai supaya perjalanan misi mereka dipermudahkan susulan bot mula bergerak dari pelabuhan menuju ke destinasi akhir pelayaran iaitu Gaza.
Aktivis kemanusiaan, Iylia Balqis berkata, bot yang dinaikinya meneruskan pelayaran selepas seminggu berada di Tunisia.
“Hon sudah pun berbunyi tanda kapal akan bergerak.
“Setelah seminggu merehatkan diri di bumi Tunisia, kini tiba masanya kami meneruskan perjalanan menuju ke bumi Ghazzah.
“Ya Allah, mudahkanlah perjalanan kami ini. Maafkan kami, doakan kami,” katanya menerusi hantaran di Instagram pada Isnin.
Terdahulu, agensi media antarabangsa melaporkan kapal pertama konvoi Global Sumud Flotilla berlepas dari pelabuhan Bizerte di utara Tunisia menuju ke Semenanjung Gaza.
Menurut penganjur, baki kapal lain akan berkumpul di perairan antarabangsa sebelum bersama-sama belayar ke Gaza dengan misi memecahkan sekatan Israel serta menghantar bantuan makanan dan perubatan kepada penduduk Palestin.
Flotilla berkenaan merangkumi lebih 40 kapal dengan penyertaan lebih 800 aktivis dari 44 negara, termasuk tokoh hak asasi manusia, doktor dan sukarelawan kemanusiaan.
Sementara itu, Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, menerusi perkongsian di Instagram miliknya berkata, perjalanan bot misi kemanusiaan itu akan terus menuju destinasi akhir dan tidak lagi singgah di mana-mana pelabuhan.
“Kalau ada salah silap saya sepanjang kita kenal, maafkanlah. Doa kalian menjadi bekalan kami di tengah laut yang luas ini.
“Moga layar ini menjadi asbab terbukanya jalan menuju pembebasan Palestin dan mencapai kemenangan yang dijanjikan,” katanya pada Isnin.
Dalam pada itu, penyanyi Zizi Kirana atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil turut meminta orang ramai mendoakan semoga laluan pelayaran mereka ke Gaza selamat dan berjalan lancar.
Zizi juga sempat memohon maaf atas segala kekurangan dan kesilapan yang pernah dilakukannya sebelum ini.
“Saya sudah memulakan kembali pelayaran menuju ke Gaza. Di sini saya ingin memohon ampun dan maaf atas segala kesalahan yang pernah saya lakukan selama hidup saya.
“Mohon halalkan segalanya, doakan kami sampai ke Gaza,” katanya menerusi hantaran di Threads pada Isnin.