KOTA KINABALU - Seorang maut tertimbus manakala empat lagi sempat menyelamatkan diri daripada runtuhan tanah yang menghempap sebuah rumah di Kampung Cenderakasih di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, runtuhan tanah bukit di kawasan berkenaan menyebabkan 11 individu terjejas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.02 pagi.
Katanya, seramai 18 anggota termasuk unit K9 bergegas ke lokasi yang terletak sejauh tiga kilometer dari BBP Lintas.
“Sebaik tiba, didapati benar berlaku runtuhan tanah yang menghempap sebuah rumah dan terdapat 11 mangsa dilaporkan terlibat.
“Empat mangsa berjaya keluar dengan selamat manakala seorang lagi ditemui pasukan penyelamat, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau menambah, maklumat lanjut berhubung operasi akan dikemas kini dari masa ke masa.