Serangan Israel di Doha: Pegawai Hamas umum rundingan pertukaran tawanan ditangguh

Iklan
Hamas mendakwa serangan udara Israel pada Selasa lalu mengenai kawasan kediaman di Doha yang digunakan oleh pemimpinnya ketika membincangkan cadangan gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat.

GAZA - Hamas pada Ahad mengumumkan pihaknya menggantung rundingan pertukaran tawanan dengan Israel selepas rejim itu menyasarkan delegasi perundingannya di ibu negara Qatar, Doha minggu lalu, lapor Xinhua.

"Rundingan tidak boleh diteruskan jika delegasi yang bertanggungjawab terhadapnya diserang di negara yang bertindak sebagai pengantara,” kata pegawai kanan Hamas, Tahir al-Nono dalam satu kenyataan.

Iklan
Iklan

Hamas mendakwa serangan udara Israel pada Selasa lalu mengenai kawasan kediaman di Doha yang digunakan oleh pemimpinnya ketika membincangkan cadangan gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat.

Delegasi diketuai pegawai kanan Hamas Khalil al-Hayya terselamat, namun lima anggota Hamas dan seorang pegawai keselamatan Qatar terbunuh.

Iklan

Al-Nono menuduh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sengaja menggagalkan usaha mencapai gencatan senjata dan pertukaran tawanan.

Beliau memberi amaran bahawa serangan intensif Israel terhadap menara kediaman di Gaza boleh membahayakan tawanan Israel yang ditahan di situ.

Iklan

"Satu-satunya penyelesaian logik ialah masyarakat antarabangsa mengeluarkan dan menguatkuasakan keputusan untuk menghentikan perang ini,” katanya.

Beliau turut menolak lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio ke Israel pada Ahad, dengan menyatakan Hamas tidak menjangkakan sebarang perubahan dalam pendirian Israel.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika serangan udara Israel sejak beberapa hari lalu memusnahkan bangunan kediaman di Bandar Gaza yang mengorbankan puluhan orang, menurut pegawai kesihatan Palestin.

Israel mendakwa operasi mereka menyasarkan infrastruktur dan pejuang Hamas, manakala pihak Palestin menegaskan orang awam yang paling terkesan.

Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat sebelum ini berusaha menjadi pengantara untuk mencapai gencatan senjata serta pertukaran tawanan sejak perang terbaru di Gaza meletus, namun serangan di Doha menimbulkan keraguan baharu terhadap prospek kemajuan rundingan. - Bernama/Xinhua