MARANG – Seorang warga emas berusia 85 tahun dari Kampung Paya Resak, Bukit Payong di sini berkongsi rahsia kesihatannya yang menjadikan aktiviti mengayuh basikal sebagai rutin harian sejak lebih 60 tahun lalu.
Awang Yusof atau mesra disapa Pak Awang berkata, biarpun usianya semakin lanjut, beliau masih menjadikan basikal sebagai peneman hidup ke pasar, kedai kopi malah untuk mencari daun nipah yang dijadikan sumber rezeki kecil-kecilan.
"Orang lain ada motor, ada kereta tapi saya tetap kayuh basikal. Senang, jimat dan sihat. Selagi ada kudrat, inilah peneman hidup saya.
"Sebenarnya bukan kuat sangat, cuma dah terbiasa kayuh sejak muda. Kalau sehari tak kayuh, rasa lemau badan," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, baru-baru ini.
Lebih mengagumkan, setiap Jumaat beliau sanggup mengayuh basikal sejauh hampir 10 kilometer (km) semata-mata untuk berniaga di pasar, kerana baginya jarak bukan halangan memandangkan aktiviti itu sudah sebati dalam hidupnya.
Datuk kepada 16 cucu dan 15 cicit itu mengakui pernah menempuh hujan lebat serta jalan becak, namun kayuhan tetap diteruskan kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada nadi kehidupannya.
Mengimbau kembali ketika zaman mudanya, Awang memberitahu, beliau mula pandai mengayuh basikal ketika berusia 22 tahun apabila memilih untuk berniaga ikan menggunakan pengangkutan itu.
"Kalau dulu, raga depan boleh muat hampir 60 kilogram ikan. Dari rumah kayuh sampai pasar, kadang-kadang sehingga ke Pasar Payang. Kalau ingat balik, rasa mustahil tapi dulu memang begitu," kongsinya.
Walaupun zaman berubah dan basikal semakin dilupakan, Awang tetap setia dengan pilihannya mengayuh basikal tua yang menjadi pengangkutan utamanya.
Awang yang dikurniakan tiga cahaya mata lebih gemar berdikari biarpun dikelilingi keluarga besar termasuk anak dan cucu.
Baginya, usia bukan penghalang malah aktiviti itu dianggap sebagai rahsia kesihatannya kerana sehingga kini beliau masih sihat tanpa sebarang penyakit serius.
"Anak-anak semua sudah berkeluarga, mereka ada kehidupan masing-masing. Saya pula lebih selesa buat kerja sendiri, selagi tubuh badan sihat.
"Kadang-kadang saya ke pasar, kedai kopi dan mencari daun nipah sebagai sumber rezeki kecil-kecilan," katanya.
Walaupun sikapnya itu sering menimbulkan kerisauan dalam kalangan keluarga, anak dan cucunya tetap kagum dengan kegigihan beliau.
Bagi Pak Awang, basikal adalah simbol kebebasan yang tidak boleh diganti dengan apa-apa sekalipun.
"Saya anggap ini nikmat ALLAH. Selagi ada kudrat, saya akan terus kayuh. Itu cara hidup saya, dah sebati sejak dulu," ujarnya.