TUMPAT – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 berjaya menumpaskan cubaan menyeludup 900 liter petrol dan diesel ke Thailand dengan merampas 30 tong bahan api di Kampung Geting dan Telaga Lanas, Pengkalan Kubor pada Ahad.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, rondaan Op Taring Wawasan Kelantan pada jam 12.30 pagi menemui 14 tong berisi 420 liter petrol dan 16 tong berisi 480 liter diesel yang dipercayai akan diseludup ke negara jiran.
“Kesemua rampasan bernilai RM1,998 diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Kota Bharu untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya pada Isnin.
Sementara itu, dalam kes berasingan, pasukan sama turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dan seorang lelaki warganegara China berusia 38 tahun yang mencurigakan dalam sebuah kereta jenis Honda di sekatan jalan raya Lalang Pepuyu, Tanah Merah pada jam 6.15 pagi hari yang sama.
Menurut Nik Ros Azhan, pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemui tiga plastik lutsinar berisi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin seberat 2.75 gram.
“Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk tindakan lanjut. Ujian saringan awal mendapati kedua-duanya positif dadah jenis ketamin,” jelasnya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952