Wan Saiful dedah turut terima emel ugutan palsu

Iklan
Wan Saiful

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan beliau juga menerima emel ugutan berkaitan video lucah palsu yang dihasilkan melalui kecerdasan buatan (AI) seperti mana berlaku kepada beberapa wakil rakyat baru-baru ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, ramai lagi ahli Parlimen lain yang mungkin terlepas pandang dengan perkara tersebut kerana e-mel berkenaan berpotensi masuk ke dalam fail 'spam', sebagaimana yang dialaminya sendiri.

Iklan
Iklan

Ujarnya, beliau hanya menyedari emel ugutan tersebut semasa bersarapan di kawasan Parlimennya, yang menuntut bayaran sebanyak 100,000 dolar Amerika Syarikat (AS) dalam bentuk mata wang kripto.

"QR code untuk bayaran, dan gambar atas katil juga disertakan.

Iklan

"Gambar yang saya terima ini kelihatan sama dengan gambar yang diterima oleh ahli Parlimen lain," katanya dalam siaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, seramai sembilan wakil rakyat kerajaan dilaporkan menerima emel berunsur ugutan yang disertakan dengan tangkap layar video palsu berasaskan kecerdasan buatan (AI), selain menuntut bayaran sebanyak 100,000 dolar AS (kira-kira RM470,000).

Iklan

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau turut menerima emel ugutan yang sama.

Setakat ini, antara yang menerima emel tersebut ialah Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi; Senator Manolan Mohamad; ADUN Kulim, Wong Chia Zen; dan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Pada Ahad, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan mendedahkan beliau turut menerima emel ugutan berkaitan video lucah palsu yang dihasilkan menggunakan AI sama seperti dialami sembilan wakil rakyat kerajaan sebelum ini.

Menurut Wan Saiful, beliau akan merujuk kepada pihak berkuasa bagi menentukan sama ada laporan rasmi perlu dibuat berhubung isu tersebut.

"Saya yakin seluruh rakyat tahu bahawa gambar yang membabitkan ramai rakan-rakan ahli Parlimen ini adalah palsu.

"Tak perlu hantar siasatan luar negara pun memang jelas ini palsu," ujarnya.