KUALA LUMPUR - Sebanyak 80 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara menonjolkan bakat lakonan menerusi pementasan teater menggunakan Bahasa Melayu sebagai medium pertuturan utama.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berkata, pihaknya mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah buat semua sekolah yang terpilih mewakili negeri masing-masing, membawa pulang hadiah kemenangan, pengalaman serta kenangan manis.
Menurutnya, penganjuran kali ke-18 Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Tamil Peringkat Kebangsaan 2025 membuktikan keseriusan penganjur dalam memartabatkan bahasa kebangsaan dengan penyampaian mesej mendalam menerusi pentas teater.
“Teater adalah cerminan kehidupan. Melalui teater, kita dapat menyampaikan mesej yang mendalam, menyentuh jiwa penonton dan pada masa sama menyemai nilai murni dalam diri pemainnya.
“Bayangkan murid sekolah Tamil berlakon menggunakan Bahasa Melayu, menyampaikan cerita yang penuh nilai kemanusiaan dan mengekspresikan perasaan dalam lontaran dialog menusuk jiwa. Bukankah itu satu lambang bahawa indahnya Malaysia?
“Pada pandangan saya, pertandingan seperti ini amatlah relevan dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang bidang akademik, malah seimbang dari segi sahsiah dan kepimpinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Teater Bahasa Melayu SJKT Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abang Haliman Abang Julai; Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) JKKN, Mohd Radzi Omar serta Penolong Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Wan Mohd Mahfodz Wan Hasan.
Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Persatuan Seni Pentas India Kuala Lumpur, Tanabalan Sinniah dan Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia, Datuk Goh Hin San.
Program yang dianjurkan sejak 2007 itu dirasmikan oleh Menteri Digital yang juga Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo.
Pertandingan tersebut menampilkan persembahan khas daripada kumpulan yang mara ke peringkat akhir bagi menyerlahkan kreativiti, semangat berpasukan, dan apresiasi seni budaya dalam kalangan generasi muda.
Menerusi pementasan teater itu, johan bagi Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Tamil Peringkat Kebangsaan 2025 jatuh kepada SJKT Batu Anam, Johor, sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta piala pusingan, piala iringan dan sijil.
Naib johan disandang oleh SJKT Slim River, Perak manakala kedudukan ketiga dimenangi SJKT Jalan Lobak, Negeri Sembilan dan masing-masing membawa pulang RM3,000 beserta piala iringan dan sijil.
Kategori Pelakon Wanita Terbaik dimenangi B Umaiyal, 12, dari SJKT Nilai, Negeri Sembilan manakala Pelakon Lelaki Terbaik jatuh kepada A Stephen Samuel, 12, yang mewakili SJKT Slim River, Perak, sementara Pengarah Terbaik pula dimenangi SJKT Batu Anam, Johor.
Mengulas mengenai pertandingan itu Gobind berkata, pihaknya amat percaya bahawa dunia seni dan digital tidak boleh dipisahkan, malah kedua-duanya perlu digabungkan untuk bergerak seiring.
Beliau berkata, terdapat keperluan mustahak untuk melihat teknologi sebagai pemangkin utama dalam memacu setiap aspek kehidupan, termasuk bidang seni dan budaya.
“Dahulu, persembahan teater sekadar dapat dinikmati mereka yang hadir ke balai budaya seperti ini. Namun kini dengan YouTube, TikTok atau Instagram, persembahan dan latihan teater boleh direkod, disunting serta dikongsikan bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia,” katanya.
Menurutnya, ia merupakan peluang emas untuk anak-anak mengembangkan bakat mereka di peringkat global.
“Selain itu, kecerdasan buatan (AI) boleh digunakan untuk membantu murid dalam proses mencari inspirasi skrip, memahami dialog atau mencipta visual digital yang inovatif untuk latar pementasan.
“Justeru, saya menggalakkan murid dan pendidik untuk terus memanfaatkan teknologi digital. Inilah cara kita menjadikan seni dan bahasa kebangsaan lebih relevan serta berdaya saing dalam era digital,” ujarnya.