Serangan digital: 'Tak perlu takut kalau tak jahat' - Peguam

Iklan
Serangan digital mengancam reputasi individu dan menguji daya tahan sistem politik dan keselamatan digital negara. - Gambar hiasan, gambar kecil: Muhammad Akram

SHAH ALAM – Serangan digital terhadap ahli politik boleh memberi kesan besar kepada reputasi dan kerjaya mereka.

Fenomena ini menandakan gelombang baharu jenayah siber yang bukan sahaja mengancam reputasi individu, tetapi turut menguji daya tahan sistem politik dan keselamatan digital negara.

Iklan
Iklan

Peguam, Muhammad Akram Abdul Aziz berkata, undang-undang di Malaysia menyediakan peruntukan untuk mengekang jenayah yang dilakukan melalui emel atau teknologi manipulasi imej serta video atau ‘deepfake’.

Menurutnya, ugutan sebegitu boleh dikategorikan sebagai jenayah pemerasan di bawah beberapa peruntukan undang-undang sedia ada seperti Seksyen 233 Akta SKMM merangkumi kesalahan yang dilakukan melalui emel dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan (peras ugut) turut boleh diguna pakai.

Iklan

“Walaupun agak sukar bagi mana-mana ahli politik melindungi diri sepenuhnya daripada ugutan berbentuk digital, mereka tidak perlu gentar sekiranya tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Jika benar tidak bersalah, jangan takut dengan ugutan tersebut. Pada masa yang sama, ambil tindakan segera dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan supaya siasatan dapat dijalankan.

Iklan

“Sebenarnya, terdapat juga pindaan kepada Kanun Keseksaan yang memperkenalkan Seksyen 507B hingga 507G berkaitan buli siber. Walaupun seksyen itu lebih ditujukan kepada kes buli, ia masih boleh diaplikasikan mengikut fakta kes,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendedahan sembilan wakil rakyat termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Emel itu mendakwa kononnya memiliki video lucah melibatkan dirinya bersama seorang lelaki dan menuntut bayaran sebanyak AS$100,000 (kira-kira RM470,000) bagi mengelakkan video berkenaan disebarkan, malah turut disertakan dengan tangkap layar video serta kod QR untuk pemindahan wang.

Ditanya tentang modus operandi jenayah siber seumpama itu, Muhammad Akram berkata, dalang biasanya menggunakan teknologi ‘deepfake’ untuk menggabungkan imej mangsa dengan situasi tidak senonoh sehingga kelihatan seolah-olah tulen.

“Berbanding zaman dahulu, gambar atau video palsu lebih mudah dikesan. Kini kualitinya sangat realistik sehingga orang biasa sukar membezakannya.

“Bagi mengesan dalang, memang sukar dilakukan individu biasa, tetapi saya percaya pihak berkuasa tempatan masih mempunyai pelbagai cara serta teknologi terkini untuk mengesan dalang tersebut,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya terbukti video itu palsu dan dicipta menggunakan teknologi AI atau suntingan, terdapat dua cabang tindakan undang-undang yang boleh diambil.

“Pertama, tindakan jenayah yang dimulakan pihak berkuasa dan Jabatan Peguam Negara untuk menghukum pesalah.

“Kedua, mangsa juga boleh mempertimbangkan prosiding sivil bagi menuntut ganti rugi atas kerosakan maruah, trauma serta reputasi, sama ada melalui tindakan fitnah atau 'invasion of privacy'.

“Namun, prosiding sivil perlu dimulakan sendiri oleh mangsa melalui peguam. Jadi, mereka perlu mempertimbangkan faktor kos, masa dan tenaga,” ujar beliau.

Daripada sudut praktikal, Muhammad Akram menasihatkan supaya mangsa tidak berhubung atau melayan sebarang tuntutan pengugut, sebaliknya membuat laporan segera kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Jangan sekali-kali membuat bayaran kerana itu hanya akan menguatkan lagi kedudukan pengugut.

“Paling penting, jangan pendam perkara ini seorang diri. Maklumkan kepada keluarga atau individu terdekat untuk mengelakkan tekanan emosi yang boleh mendorong mangsa membuat keputusan salah,” jelasnya.