Askar Israel di Gaza derita penyakit kulit akibat serangan pepijat

Iklan
Keadaan tangan seorang askar akibat diserang pepijat.Foto: Agensi

BAITULMAQDIS – Askar Israel yang ditempatkan di Semenanjung Gaza dilaporkan mengalami masalah kesihatan kulit secara meluas akibat serangan pepijat, menurut akhbar harian Israel, Yedioth Ahronoth, pada Jumaat.

Pasukan yang ditempatkan di pos sementara di seluruh Gaza mengadu mengalami ruam teruk dan kegatalan berterusan, khususnya pada waktu malam.

Iklan
Iklan

Menurut laporan itu, masalah berkenaan menimpa anggota tetap dan simpanan, termasuk unit yang menukar bangunan rosak menjadi kubu sementara. Aduan terbanyak datang dari Gaza tengah dan selatan, sementara askar di kejiranan Zeitoun, Bandar Gaza, serta di kem pelarian Jabalia, turut melaporkan keadaan sama.

Pepijat membuatkan mereka sakit-sakit. Foto: Agensi

Iklan

“Askar-askar ini telah menderita dalam diam selama berminggu-minggu, dengan gatal yang bertambah teruk pada waktu malam,” kata seorang pegawai simpanan yang tidak mahu dikenali kepada akhbar tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa pepijat itu menular melalui pakaian seragam dan beg tidur, walaupun dalam kalangan mereka yang tidak tidur di lantai.

Iklan

Seorang bapa askar menceritakan bahawa anaknya cuba menyembunyikan kesan gigitan sehingga ia terlihat ketika bercuti.

“Mereka diberitahu pos ini hanya sementara beberapa minggu, tetapi kini menjadi kekal. Mereka hidup dalam keadaan kotor, dengan sampah hanya beberapa meter dari tempat mereka tidur. Tidak wajar mereka didedahkan kepada risiko kesihatan sebegini,” katanya, sambil menambah kehadiran kucing dan anjing liar meningkatkan lagi ancaman penyakit.

Laporan itu turut menekankan keadaan tidak bersih berpunca daripada penempatan askar di bangunan terbiar atau rosak yang tiada kemudahan tandas sempurna.

Ruam merah kelihatan pada kaki seorang askar. Foto: Agensi

Situasi ini berlaku ketika Gaza sendiri berdepan krisis kebersihan serius akibat sekatan berterusan Israel, memaksa ratusan ribu rakyat Palestin yang hilang tempat tinggal berlindung di bangunan musnah yang dipenuhi haiwan dan serangga liar.

Sejak Oktober 2023, serangan tentera Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 64,800 rakyat Palestin. Kempen ketenteraan itu bukan sahaja memusnahkan sebahagian besar Gaza tetapi turut menyebabkan kebuluran melanda wilayah berkenaan.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan. Israel juga sedang berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). - Agensi