KUALA TERENGGANU – Kesedaran masyarakat mengenai integriti tidak seharusnya disampaikan secara formal semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan lebih segar dan dekat dengan kehidupan seharian.
Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, pelbagai inisiatif baharu dilaksanakan bagi memastikan mesej integriti lebih mudah diterima oleh masyarakat.
Katanya, penganjuran Larian ERAT Malaysia bertemakan ‘Integriti Dijulang, Negara Bermaruah’ menjadi bukti bahawa nilai integriti boleh dipupuk dengan cara lebih santai dan mesra rakyat.
"Integriti ini bukan sesuatu yang berat untuk difahami. Kita mahu masyarakat lihat ia sebagai sesuatu yang dekat dengan kehidupan seharian.
"Kalau sebelum ini orang biasa dengar integriti melalui seminar atau ceramah, kali ini kita jadikan ia sebahagian daripada gaya hidup masyarakat. Itu yang cuba kita tanamkan melalui Larian ERAT," katanya ketika ditemui selepas program berkenaan di Dataran Batu Buruk, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.
Ismail berkata, setiap langkah dalam larian itu bukan sekadar menuju garisan penamat, tetapi melatih disiplin, ketahanan serta tanggungjawab yang membentuk nilai integriti dan jati diri.
Jelasnya, program itu bukan sahaja melibatkan agensi di bawah seliaan EAIC, malah turut menyasarkan penyertaan masyarakat umum agar memahami kepentingan memberi kerjasama kepada 21 agensi penguatkuasaan berkaitan.
Pada majlis sama, EAIC turut melancarkan logo baharu dan Iklan Pesanan Khidmat Awam (PKA) hasil kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang bakal ditayangkan di pelbagai platform media.
"Pelancaran ini adalah kesinambungan penjenamaan semula EAIC yang diumumkan pada 8 Ogos lalu.
"Ia bertujuan memperkukuh imej baharu EAIC sebagai institusi proaktif dalam mempromosikan integriti, meningkatkan kefahaman awam serta menggalakkan penglibatan masyarakat memerangi salah laku," ujarnya.
Mengulas mengenai bidang tugas EAIC, katanya, badan itu menjalankan siasatan terhadap pelbagai kes melibatkan salah guna kuasa.
"Kes-kes dalam siasatan kita antaranya melibatkan pegawai penguat kuasa di bawah Seksyen 24 Akta 700, termasuk isu kronisme, pelanggaran tatakelola, melindungi sindiket, penindasan anggota bawahan, promosi skim cepat kaya menggunakan kedudukan rasmi dan penubuhan NGO untuk mengutip wang awam.
"Kesalahan di bawah EAIC berbeza dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"SPRM menekankan salah guna kuasa bagi mendapatkan suapan seperti jawatan atau tender, manakala EAIC menilai tindakan atau kegagalan pegawai penguat kuasa yang berlawanan dengan undang-undang bertulis atau tidak mengikut tatacara ditetapkan," jelasnya.
Program Larian ERAT selama sehari itu dianjurkan EAIC dengan kerjasama Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu serta Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), berjaya menarik kira-kira 1,000 peserta.
Pelbagai pengisian turut diadakan antaranya pameran, sesi interaktif pocket talk, Jualan Rahmah serta aktiviti pendidikan dan kesedaran awam bagi memastikan mesej integriti sampai kepada masyarakat.
"Acara seperti Larian ERAT ini jadi jambatan untuk mendekatkan EAIC dengan rakyat, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan.
"Jika semua pihak memainkan peranan, Insya-ALLAH negara kita akan lebih sejahtera," katanya.