Pemandu jengkaut dikhuatiri tertimbus runtuhan batu kuari

Iklan
Keadaan salah sebuah jengkaut yang terbalik dipercayai akibat dihempap runtuhan batu di sebuah kuari di Raub pada Sabtu.

RAUB - Seorang pemandu jengkaut dikhuatiri tertimbus selepas jentera berat kendaliannya dihempap runtuhan batu di sebuah kuari di Ulu Gali, Sungai Ruan, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, tiga pekerja kuari warga asing terselamat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, usaha mencari mangsa, Mohammad Fazrul Illahi Ab Rahman, 30, beralamat dari Tanah Merah, Kelantan sedang dijalankan.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang mengendalikan jengkaut sebelum bongkahan batu jatuh secara tiba-tiba lalu menghempap jentera itu.

Iklan

“Beberapa pekerja yang menyaksikan kejadian mendakwa mangsa sempat melarikan diri dengan melompat sebelum tertimbus runtuhan batu,” katanya.

Mohd Shahril berkata, keluasan kawasan yang tertimbus dianggarkan 300 meter persegi manakala kedalamannya belum dapat dipastikan.

Iklan

Lokasi kejadian runtuhan batu menghempap jengkaut menyebabkan pemandunya dikhuatiri tertimbus di tapak sebuah kuari di Raub pada Sabtu.

“Kejadian dimaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa digerakkan pada jam 1.30 tengah hari.

“Pasukan bomba cuba membuat penggalian di kawasan runtuhan tempat mangsa dipercayai tertimbus namun gagal menemuinya,” ujarnya.

Operasi SAR dijalankan pihak bomba dan polis dimulakan kira-kira jam 1 tengah hari pada Sabtu.

Beliau berkata, operasi SAR ditangguhkan kira-kira jam 7.30 petang Sabtu dan disambung semula pada Ahad dengan bantuan unit anjing pengesan.

“Pekerja warga asing yang terselamat dan mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Raub untuk menerima rawatan,” katanya.