SHAH ALAM - Tiada keperluan memansuhkan program matrikulasi sedia ada kerana masih relevan dan memberi manfaat kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad berkata, program tersebut mempunyai matlamat jelas dalam menyediakan laluan kepada pelajar khususnya bidang sains dan profesional, selain membantu melahirkan lebih ramai tenaga mahir negara.
“Tidak ada keperluan untuk mansuhkan matrikulasi dan pada masa sama, kerajaan sedang meningkatkan kualiti Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM).
“Kita juga sudah ada kolej Tingkatan Enam dan kerajaan memberi perhatian yang penuh pada peringkat itu dan STPM,” katanya kepada Sinar Ahad.
Anuar menegaskan, dasar pendidikan sedia ada tidak perlu dipolemikkan dengan cadangan yang mampu menimbulkan kegelisahan dan rasa tidak selesa masyarakat.
Sementara itu, Pensyarah Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi Mara, Profesor Madya Dr Ghazali Yusri Abd Rahman menyarankan kerajaan menyeragamkan sistem persekolahan bagi memastikan keadilan dalam penilaian akademik dan memperkukuh perpaduan nasional.
Menurutnya, sistem sedia ada yang merangkumi pelbagai aliran dan kurikulum seperti Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan kurikulum antarabangsa, O-Level dilihat tidak membantu ke arah keseragaman sistem.
“Isunya sama sahaja. Mansuhkan UEC, guna Sijil Pelajaran Malaysia untuk masuk ke A-Level. Jika perkara ini pun belum dapat diselesaikan, mengapa ada cita-cita untuk menyatukan saluran ke universiti awam. Seragamkan sistem persekolahan dari peringkat awal lagi. Kita tidak perlu lagi sistem sekolah berdasarkan bangsa,” katanya.