Program matrikulasi wajar kekal demi akses pendidikan adil, inklusif - UiTM

Iklan
Hantaran UiTM di Facebook pada Sabtu.

SHAH ALAM - Program matrikulasi wajar dikekalkan sebagai salah satu laluan signifikan ke institusi pengajian tinggi (IPT) demi menjamin akses pendidikan yang adil, inklusif dan seimbang untuk semua pelajar.

Pejabat Komunikasi Strategik Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam satu kenyataan berkata, cadangan pemansuhan matrikulasi berpotensi menghadkan peluang anak muda untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

Iklan
Iklan

Menurut UiTM, ia tidak selari dengan matlamat pembangunan pendidikan negara bagi jangka masa panjang, khususnya dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk pembangunan negara.

“UiTM berpendirian bahawa program matrikulasi wajar dikekalkan. Matrikulasi adalah mekanisme penting yang bukan sahaja membuka jalan ke universiti, malah menjadi instrumen keadilan sosial agar tiada pelajar tercicir peluang menjejakkan kaki ke menara gading.

Iklan

“Kami percaya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa komited memastikan setiap anak Malaysia mendapat akses pendidikan yang holistik serta adil, selaras Perlembagaan Persekutuan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Sebagai universiti awam yang sinonim dengan agenda pembangunan bumiputera, UiTM menegaskan ekosistem pendidikan tinggi negara tanggungjawab bersama dan tidak wajar dijadikan polemik berpanjangan,” katanya pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) menerusi presidennya, Tang Yi Ze menyerahkan memorandum kepada KPT untuk menuntut program matrikulasi dimansuhkan.

Kata pemuda itu, pihaknya mahu menjadikan silibus STPM sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam (UA) bagi jurusan ijazah.

Memorandum tersebut dikemukakan susulan laporan media mengenai Edward Wong, lepasan STPM yang memperoleh CGPA 4.0 serta bercita-cita menjadi akauntan, namun ditolak enam universiti.

Bagaimanapun, selepas menerima kecaman pelbagai pihak termasuk pemimpin politik, UMANY tampil memberikan penjelasan berhubung cadangan memansuhkan program matrikulasi yang dibangkitkan pihaknya pada Jumaat.

Menerusi hantaran di Instagram, persatuan itu menjelaskan bahawa maksud sebenarnya adalah menggabungkan program matrikulasi dengan peperiksaan STPM berasaskan sukatan pelajaran sijil itu yang diiktiraf secara meluas termasuk di peringkat antarabangsa.

Malah, pihaknya juga menegaskan cadangan berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan isu perkauman selain memohon maaf di atas kekeliruan tersebut.

Mengulas lanjut, UiTM berpandangan, pendidikan adalah asas pembinaan negara bangsa dan pihaknya meminta supaya program matrikulasi terus diperkasa, bukannya dipertikai.

Hal ini kerana menurutnya, ia terbukti menjadi antara laluan akademik paling berkesan dalam membina modal insan yang lestari, cemerlang dan berdaya saing pada masa hadapan.