Petronas perlu bantu Sabah jana hasil, keuntungan baharu - Armizan

Iklan
Armizan

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah menegaskan tiada niat untuk meruntuhkan Petronas, sebaliknya mahu syarikat minyak negara itu membantu mencari hasil baharu yang menguntungkan negeri melalui SMJ Energy Sdn Bhd.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, aspirasi Sabah adalah meningkatkan kerjasama strategik dengan Petronas berdasarkan prinsip greater say, greater participation dan greater revenue sharing.

Iklan
Iklan

“Lebih 50 tahun Petronas dianggap angsa yang bertelur emas. Kini tiba masanya Petronas membantu Sabah melahirkan angsa baharu iaitu SMJ Energy yang akan menjadi pemacu kepentingan negeri dalam industri minyak dan gas,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Armizan berkata, hasil pertemuan rasmi dengan Petronas pada 2021 telah membuka ruang lebih luas untuk Sabah melalui termeterainya Commercial Collaboration Agreement (CCA) yang menjadi asas kepada penglibatan lebih bermakna negeri dalam sektor minyak dan gas.

Iklan

“Sabah tidak pernah berhasrat menjatuhkan Petronas. Kita mahu kerjasama ini berkembang untuk manfaat kedua-dua pihak dan memberi pulangan lebih besar kepada rakyat negeri ini,” katanya.

Melalui CCA, jelas beliau, Sabah memperoleh ruang lebih luas dalam pemilikan dan penyertaan di sepanjang rantaian industri minyak dan gas termasuk upstream, midstream dan downstream.

Iklan

“CCA ini turut mewujudkan pelbagai jawatankuasa tetap yang bersidang secara berkala serta melibatkan Ketua Menteri sendiri di peringkat tertinggi.

“Bermula dari situ, Sabah tidak lagi hanya bercakap soal royalti atau cukai jualan tetapi melangkaui aspek yang lebih meluas,” katanya.

Beliau menambah, setakat ini lebih 1,000 syarikat kontraktor tempatan Sabah terlibat dalam sektor berkenaan, manakala SMJ Energy diamanahkan menyelaras strategi penyertaan serta pemilikan negeri.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor pada 28 Ogos 2021 telah memimpin delegasi negeri bertemu kepimpinan tertinggi Petronas dan menyerahkan aspirasi Sabah secara bertulis.

Daripada pertemuan itu, Petronas menerima buat pertama kali kerangka cadangan menyeluruh negeri yang kemudiannya menjadi asas kepada termeterainya CCA pada 7 Disember 2021.

Hajiji turut menegaskan peranan Sabah bukan sekadar sebagai penerima hasil, tetapi melibatkan pegangan ekuiti, penyertaan kontraktor tempatan serta penglibatan menyeluruh dalam rantaian upstream, midstream dan downstream.