PORT DICKSON - Pertubuhan Kami Anak Felda Malaysia (KAF) menggesa kerajaan mempercepatkan pindaan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) bagi membolehkan generasi baharu Felda membina rumah di atas tanah milik keluarga mereka tanpa halangan perundangan sedia ada.
Presidennya, Datuk Amizar Abu Adam berkata, kelewatan pelaksanaan pindaan akta itu akan terus menyukarkan urusan penempatan generasi peneroka terutamanya dalam soal perumahan dan pembangunan infrastruktur serta utiliti.
“Salah satu sebab utama GSA perlu dipinda ialah untuk penyesuaian semula akta sedia ada. Dalam banyak kes, keluarga peneroka hanya dibenarkan bina satu rumah atas tanah suku ekar walaupun mereka mempunyai lebih lima orang anak.
“Kalau pindaan GSA dibenarkan, tanah itu boleh dipecah lot. Setiap anak boleh bina rumah sendiri dan pasang elektrik dan air sendiri,” katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan KAF di sini pada Sabtu.
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ujar Amizar yang juga ADUN Pelangai, cadangan pindaan GSA itu telah dikemukakan dan sesi libat urus juga telah dijalankan, namun jangkaan pembentangan di Parlimen hanya akan dilakukan pada 2026 dengan pelaksanaan pada 2027.
“Kami minta kerajaan percepatkan. Kalau boleh, bentangkan tahun depan supaya anak-anak Felda dapat bina rumah lebih awal kerana ia keperluan mendesak.
“Rumah di bandar sangat mahal, jadi jika dibenarkan bina di tanah sendiri. Apabila anak-anak balik dan buat rumah, penduduk bertambah, kuasa beli meningkat secara tidak langsung akan merancakkan lagi ekonomi Felda,” jelasnya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memberitahu kerajaan akan melakukan pindaan terhadap akta tersebut antara lain bagi mendepani cabaran dihadapi dalam usaha menyediakan keperluan perumahan bagi generasi kedua, ketiga dan keempat peneroka.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memaklumkan terdapat 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara dengan kira-kira 120,000 peneroka membabitkan pelbagai generasi.