Calon PM dari Pas perlu miliki 4 ciri berpaksikan Islam - Mursyidul Am

Iklan
Hashim (dua dari kiri) semasa berucap pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Pusat Kali Ke-64 di Kompleks Maahad Darul Hadis, Kampung Tok Keling pada Sabtu.

ALOR SETAR - Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menegaskan calon Perdana Menteri daripada Pas mestilah memiliki empat ciri utama berpaksikan nilai Islam, bukan semata-mata berlandaskan populariti atau sokongan politik.

Beliau berkata, pemimpin yang layak memegang jawatan tertinggi negara perlu mempunyai sifat takut kepada ALLAH, beramal dengan syariat, membuat persediaan untuk akhirat serta reda dengan rezeki yang ditentukan walaupun sedikit.

Iklan
Iklan

“Kita nak cari pemimpin jenis itu, bukan pemimpin yang bangga dengan sokongan ramai.

“Sokong buat apa? Adakah untuk takutkan ALLAH? Untuk persediaan akhirat? Untuk elak dosa dan buat kebajikan? Kalau tidak, itu bukan pemimpin yang kita mahukan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Pusat Kali Ke-64 di Kompleks Maahad Darul Hadis, Kampung Tok Keling, di sini pada Sabtu.

Hashim turut menekankan bahawa Pas sentiasa mentarbiah pemimpin dan ahlinya agar memimpin ke arah kebaikan dan kebajikan, bukan sekadar mengejar kuasa.

Iklan

“Memimpin orang ke arah kebajikan dan kebaikan, inilah sebenarnya yang Pas tarbiyah diri kita sikit demi sikit,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Hashim turut menempelak dakwaan bahawa ulama tidak layak mentadbir negeri dengan merujuk kepada kepimpinan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang pernah menjadi Menteri Besar Kelantan selama 22 tahun.

“Dulu masa kita lantik Tok Guru Nik Aziz jadi Menteri Besar, ada pemimpin UMNO kata kerajaan ini akan tumbang dalam tiga bulan.

“Tapi bukan tiga bulan, bukan enam bulan, bukan setahun, (sebaliknya) 22 tahun tidak ada masalah,” ujarnya.

Beliau menegaskan pengalaman Pas mentadbir negeri membuktikan bahawa ulama bukan sahaja layak memimpin, malah mampu membawa kestabilan serta dasar berteraskan Islam.