Pertikai wibawa UIAM, Amanah tuntut Pas mohon maaf

Iklan
AZLI

 

SHAH ALAM - Pas dituntut supaya memohon maaf kepada warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) susulan kenyataannya yang mempertikaikan kewibawaan universiti berkenaan dalam menjalankan kajian berkaitan cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

Pengerusi Biro Pendidikan dan Pemerkasaan Masyarakat Parti Amanah Negara (Amanah), Azli Yusof berkata, tindakan mempertikaikan institusi pendidikan itu bukan sahaja tidak bertangungjawab tetapi juga memperlihatkan sikap politik anti ilmu dan akademik.

Jelasnya, kenyataan yang dibuat Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga turut menimbulkan persoalan sama ada parti itu hanya mengiktiraf kepakaran akademik jika hanya memberi keuntungan kepada mereka.

Iklan

"UIAM bukanlah sebuah universiti yang terlalu junior seperti didakwa, sebaliknya telah ditubuhkan pada tahun 1983, menjadikannya sebuah institusi pengajian tinggi awam yang telah berkhidmat lebih empat dekad kepada negara.

"Amanah menegaskan bahawa kajian akademik dijalankan berasaskan kaedah saintifik, kerangka analisis dan kebebasan akademik, agar ia bebas dari arahan atau kecenderungan mana-mana pihak berkepentingan.

Iklan

"Justeru, Amanah menyeru Pas agar menarik balik kenyataan tidak berasas tersebut dan memohon maaf kepada warga UIAM, menghormati peranan institusi ilmu serta kembali berpolitik secara bertanggungjawab, beretika dan berasaskan fakta," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Takiyuddin mempertikaikan pemilihan UIAM selaku institusi pendidikan yang melaksanakan kajian berhubung cadangan pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur yang kini turut menimbulkan kontroversi.

Beliau berkata, PN ingin tahu atas dasar apa UIAM dipilih dalam pelaksanaan kajian itu sedangkan terdapat universiti lain yang mempunyai lebih kepakaran bagi tujuan berkenaan.

Mengulas lanjut, Azli berkata, sikap Takiyuddin yang meragui kewibawaan institusi berkenaan juga dilihat sebagai cubaan melemahkan peranan universiti dan dapatan kajian ilmiah dalam menyumbang kepada pembentukan dasar awam dan reformasi institusi negara.

Beliau dalam masa sama turut mengingatkan bahawa merendahkan martabat mana-mana universiti awam sebelum kajian bermula hanya menguatkan persepsi bahawa Pas takut kepada fakta, data dan perbahasan terbuka malah boleh membina persepsi negatif yang menghakis keyakinan rakyat terhadap ilmu, kepakaran tempatan dan masa depan negara.

"Isu pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah isu reformasi tadbir urus bandar yang serius dan memerlukan perbincangan matang, terbuka dan berfakta, bukan polemik politik sempit," katanya.