ALOR SETAR - Majlis Ulama Pas disaran agar tidak hanya berperanan sebagai pendidik dan pengeluar fatwa, sebaliknya tampil sebagai pemikir strategik yang mampu menawarkan penyelesaian terhadap pelbagai cabaran semasa termasuk isu ekonomi, pentadbiran dan dasar negara.
Ketua Majlis Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya berkata, sudah tiba masanya institusi ulama bergerak lebih aktif dalam membentuk dasar berlandaskan nilai Islam, bukan sekadar terlibat dalam perbahasan akademik atau hukum semata-mata.
“Ulama mesti memainkan peranan sebagai penyelesai masalah, bukan sekadar pendidik. Perbahasan fiqh perlu diperluas dan diterjemahkan kepada dasar yang jelas demi manfaat rakyat,” katanya semasa berucap pada Muktamar Majlis Ulama Pas ke-64 di sini pada Sabtu.
Beliau turut mencadangkan agar Institut Kajian Islam dan Strategik (IKIS) bersama universiti berkaitan menubuhkan badan pemikir yang mampu merangka penyelesaian praktikal berasaskan iman dan syariah.
Ahmad menegaskan, bidang seperti ekonomi Islam, undang-undang, pentadbiran dan pendidikan perlu dijadikan titik permulaan dalam usaha memperkukuh peranan ulama sebagai pemacu perubahan.
“Islam menawarkan sistem yang menyeluruh untuk semua aspek kehidupan dan perlu dijadikan kerangka panduan dalam pemerintahan. Negara-negara Islam, termasuk Malaysia, tidak seharusnya lagi bergantung kepada model dari Timur atau Barat,” ujarnya.
Beliau turut memetik pandangan tokoh ulama tersohor, Syahid Imam Hasan al-Banna, yang menekankan bahawa Islam adalah sistem hidup yang lengkap dan mampu menangani cabaran nasional serta global.
Dalam pada itu, Ahmad menegaskan wacana ilmiah tidak seharusnya terhad kepada lingkungan akademik semata-mata, sebaliknya perlu memberi kesan langsung kepada dasar kerajaan.
“Perbahasan ini harus menjadi asas kepada keputusan di peringkat tertinggi. Ulama perlu berani tampil dengan gagasan yang mampu membentuk hala tuju negara,” katanya lagi.