KUALA LUMPUR - Lebih 11,000 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas menerusi Operasi Patuh Undang-Undang (Op PUU) di beberapa jalan utama di ibu negara sejak 6 September lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, notis itu dikeluarkan sebagai peringatan awal kepada pengguna jalan raya mengenai kesalahan dilakukan dalam tempoh kempen advokasi Op PUU.
“Advokasi Op PUU dilaksanakan dengan menyerahkan notis kepada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan kecil tanpa dikenakan saman.
“Hanya dalam tempoh enam hari sehingga kelmarin, sebanyak 11,984 notis advokasi dikeluarkan Polis Kuala Lumpur terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan walaupun kecil,” katanya pada sidang akhbar di Balai Trafik Kuala Lumpur, Jumaat.
Op PUU dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Fadil berkata, antara kesalahan yang dikesan ialah tidak mengikat tali topi keledar, memberhentikan kenderaan melebihi garisan putih dan garisan lintasan pejalan kaki, meletakkan kenderaan di laluan pejalan kaki serta melanggar lampu isyarat.
“Kita mendapati masih ramai masyarakat yang tiada kesedaran mengenai peraturan dan undang-undang jalan raya. Mereka mengabaikan peraturan dan melakukannya seolah-olah perkara biasa,” katanya.
Beliau menjelaskan Op PUU menumpukan kepada aspek pendidikan, pembabitan komuniti, pengurangan kesesakan akibat sikap pengguna jalan raya serta usaha pencegahan jenayah.
“Kita mahu menanam kesedaran jangka panjang mengenai kepentingan keselamatan jalan raya.
“Pada peringkat awal, operasi dilaksanakan di kawasan panas seperti Jalan Loke Yew, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang, Jalan P Ramlee dan Jalan Tun Razak sebelum diperluas ke seluruh ibu negara,” katanya.
Menurutnya, advokasi itu akan diteruskan sehingga satu tempoh yang belum ditetapkan.
“Sepanjang tempoh advokasi, tindakan tegas tetap dikenakan terhadap kesalahan serius seperti memandu atau menunggang tanpa lesen,” katanya.