MPPK tegas tolak tuntutan mansuh program matrikulasi

Iklan
Program matrikulasi merupakan salah satu laluan penting ke pendidikan tinggi negara.

SHAH ALAM - Program matrikulasi merupakan salah satu laluan penting ke pendidikan tinggi negara.

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) berkata, program itu terbukti memainkan peranan besar dalam menyediakan landasan yang efektif bagi melahirkan mahasiswa cemerlang serta menampung keperluan tenaga mahir negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, MPPK percaya setiap laluan pendidikan yang dirangka kerajaan sama ada matrikulasi, asasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mahupun Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mempunyai peranan tersendiri dalam melahirkan mahasiswa berkualiti.

"Ia kerana memberi pilihan lebih luas kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikut kecenderungan dan potensi masing-masing dan memastikan akses pendidikan yang adil serta inklusif untuk semua.

Iklan

"MPPK dengan jelas menolak sebarang tuntutan memansuhkan matrikulasi kerana langkah tersebut bukan sahaja akan mengurangkan peluang akses pendidikan kepada sebahagian besar pelajar, malah tidak mencerminkan kepentingan jangka panjang pembangunan pendidikan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) menuntut supaya program matrikulasi dimansuhkan dan menjadikan sukatan pelajaran STPM sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam (UA) bagi jurusan ijazah.

Iklan

Presidennya, Tang Yi Ze berkata, ini kerana pihaknya mendapati sukatan pelajaran STPM terbukti lebih baik selain lebih mencabar dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk universiti ternama dunia.

Tambah MPPK, pihaknya turut mengecam sebarang tindakan, desakan atau pendekatan yang boleh menjejaskan kesejahteraan mahasiswa serta mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Tegasnya, setiap isu pendidikan perlu dibincangkan dengan rasional dan profesional, bukan bertindak berpandukan emosi atau kepentingan tertentu semata-mata.

"Hanya melalui pendekatan yang matang, progresif dan berpandangan jauh, barulah keharmonian masyarakat serta perpaduan negara dapat terus dipelihara.

"Sehubungan itu, MPPK menyeru agar perbincangan mengenai masa depan pendidikan dilaksanakan dengan semangat keterangkuman, keadilan dan kesaksamaan.

"Perancangan dasar pendidikan perlu berteraskan kepentingan jangka panjang negara, mengutamakan agenda pembangunan insan serta memastikan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, mendapat manfaat daripada sistem pendidikan yang saksama dan berkualiti," katanya.