Air hujan sumber alternatif ternak ikan keli, jimat bil hampir 10 peratus

Iklan
Mohd Zamri (dua dari kiri) melihat projek ternakan ikan keli menggunakan SPAH di Surau At-Taqwa, Kampung Kubang Badak, Kuala Nerus pada Jumaat.

KUALA NERUS – Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) dijadikan sumber alternatif dalam Projek Rintis Komuniti Tertumpu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kampung Kubang Badak bagi menyokong projek ternakan ikan keli dan pertanian komuniti.

Ketua Projek, Ismail Ibrahim berkata, inisiatif itu membantu menjimatkan penggunaan bil hampir 10 peratus, sekali gus meringankan beban kos peserta projek.

Iklan
Iklan

"Apabila musim hujan, tangki penuh dan kami manfaatkan air hujan ini untuk ternakan ikan keli selain siraman sayuran.

"Air basuhan ikan juga boleh digunakan bagi menyiram tanaman dan ia boleh menjadi baja semula jadi," katanya ketika ditemui selepas perasmian Projek Rintis Komuniti Tertumpu di Surau At-Taqwa, Kampung Kubang Badak di sini pada Jumaat.

Iklan

Ismail berkata, projek dijalankan di bawah Program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani) itu sedikit sebanyak membantu suri rumah dan ibu tunggal yang tidak bekerja memperoleh pendapatan tambahan.

"Untuk 100 kilogram (kg) ikan keli, hasil jualan boleh mencecah lebih RM1,000 sebulan. Hasil jualan akan dikumpul dan diagih kepada peserta.

Iklan

"Komuniti setempat juga merancang memperluaskan projek termasuk penggunaan tenaga solar untuk pam air dan sistem sokongan lain bagi menjimatkan kos operasi," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Kubang Badak.

SPAH yang digunakan di Surau At-Taqwa, Kampung Kubang Badak, Kuala Nerus.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata, projek rintis tersebut melibatkan tiga komponen utama iaitu SPAH, Akuakultur Integrasi serta Keusahawanan Cendawan Tiram.

Beliau berkata, lebih RM100,000 diperuntukkan melalui dana Sejati Madani@KPT, Komuniti@UniMadani dan Service Learning Malaysia-University for Society (Sulam) bagi menjayakan program ini.

Perkasa komuniti setempat 

"Ia inisiatif strategik memperkasa komuniti setempat melalui pemindahan ilmu, inovasi dan pembangunan mampan selaras dengan agenda universiti memasyarakatkan nilai Madani," katanya.

Pada majlis itu, beliau turut melepaskan 1,500 benih ikan keli ke dalam tangki ternakan sebagai simbolik pelancaran projek.

Dr Mohd Zamri berkata, Kampung Kubang Badak dipilih kerana kedudukannya yang strategik dan dekat dengan kampus sekali gus memudahkan kerja pemantauan.

"Projek SPAH memberi pendedahan mengenai pengurusan sumber air lestari, manakala Akuakultur Integrasi menggabungkan ternakan ikan dengan tanaman.

"Selain itu, Program Keusahawanan Cendawan Tiram memberi latihan penanaman, pengurusan dan pemprosesan produk berasaskan cendawan bagi memperluaskan peluang ekonomi komuniti.

Jelasnya lagi, seramai 30 peserta terdiri daripada suri rumah, ibu tunggal, pesara dan belia terlibat dalam projek yang dijangka mampu memberi pendapatan tambahan antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

"Kerjasama universiti, komuniti dan agensi kerajaan diharap dapat menjadikan Kampung Kubang Badak sebagai model komuniti luar bandar yang progresif, berdaya saing dan mampan,” katanya.