Hanya pengguna guna lebih 50m³ terjejas kenaikan tarif – SATU

Iklan
SATU tegaskan kenaikan tarif air di Terengganu tidak jejaskan majoriti pengguna domestik, hanya beri kesan kepada pengguna dengan penggunaan melebihi 50 m³ sebulan.

KUALA TERENGGANU – Syarikat Air Terengganu (SATU) menegaskan pelaksanaan tarif baharu air tidak memberi kesan besar kepada majoriti pengguna domestik di negeri ini, sebaliknya hanya melibatkan segelintir yang menggunakan air pada kadar tinggi melebihi 50 meter padu (m³) sebulan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Karim Endut berkata, purata penggunaan isi rumah di Terengganu sekitar 27.5 hingga 30m³ sebulan bagi sebuah keluarga (empat orang) sekali gus meminimumkan kesan kenaikan tarif air bagi kebanyakan pengguna.

Iklan
Iklan

"Tidak benar berlaku kenaikan sekali ganda sebagaimana ditularkan. Hanya segelintir pengguna yang menggunakan air melebihi 50m³ sebulan akan nampak perbezaannya," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat

Menurutnya, kadar tarif air domestik di Terengganu juga masih berada antara terendah di negara ini di mana caj hanya RM0.66 semeter padu penggunaan bawah 20m³ berbanding sehingga RM1.05 di beberapa negeri lain.

Iklan

Katanya, bagi blok 20 hingga 35m³, caj di Terengganu ialah RM1.69 semeter padu, jauh lebih rendah berbanding Johor (RM2.35) manakala bagi penggunaan melebihi 35m³, caj dikenakan RM2.25 semeter padu berbanding RM3.50 di Johor serta RM3.51 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Ini jelas menunjukkan kadar tarif air di Terengganu masih kompetitif malah lebih rendah berbanding banyak negeri lain.

Iklan

Sebagai contoh, bagi penggunaan 30m³ sebulan, pengguna hanya akan dicaj 20m³ pertama pada kadar RM0.66 semeter padu dan baki 10m³ berikutnya pada kadar RM1.69 semeter padu.

"Dengan kaedah blok ini, jumlah caj sebenar adalah lebih rendah daripada jumlah yang ditularkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menolak dakwaan bahawa 75 peratus rumah di Terengganu akan mengalami kenaikan purata bil bulanan sebanyak RM37 sebagaimana yang tersebar di media sosial.

"Itu tidak benar sama sekali. Pengguna boleh semak sendiri dengan kalkulator bil air yang disediakan dalam laman SATU untuk melihat anggaran caj sebenar," ujarnya.

Mengikut rekod SATU, jumlah keseluruhan akaun pengguna domestik di Terengganu adalah sebanyak 293,519.

Daripada jumlah itu, 40 peratus menggunakan air tidak melebihi 20m³ sebulan, manakala 19 peratus menggunakan sehingga 30m³ dan 21 peratus sehingga 45m³.

Selain itu, empat peratus menggunakan sehingga 50m³, 12 peratus sehingga 80m³, serta dua peratus masing-masing bagi kategori sehingga 100m³ dan melebihi 100m³.

Sementara itu, bagi kategori penerima subsidi 20m³ percuma, sebanyak 32 peratus pengguna berada pada tahap penggunaan tidak melebihi 20m³ sebulan, manakala 68 peratus lagi menggunakan melebihi 20m³.

"Berdasarkan angka ini, majoriti pengguna berada dalam kategori penggunaan rendah hingga sederhana. Hanya sebilangan kecil yang menggunakan lebih tinggi berdepan kesan ketara," jelas Abdul Karim.

Beliau berkata, pelarasan tarif air diluluskan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui mekanisme penetapan tarif (TSM) selepas mengambil kira kos operasi, kewangan serta keperluan penambahbaikan berperingkat bagi memastikan kelestarian bekalan air di negeri ini.