'Insiden kekecohan, kecederaan polis tidak libatkan penduduk'

Iklan
Muzzafar (kanan) dalam sidang akhbar isu Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - Insiden kekecohan semasa operasi pengosongan Kampung Sungai Baru di sini pada Khamis sehingga menyebabkan kecederaan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman tidak melibatkan penduduk setempat.

Penasihat Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, Muzzafar Razman berkata, ketika kejadian penduduk yang terkesan berada dalam kediaman masing-masing.

Iklan
Iklan

"Apa yang saya nak jelaskan kejadian pada 11 September semalam (Khamis) tidak ada kaitan langsung dengan penduduk.

“Kami hanya berada di rumah masing-masing dan tidak ada sebarang provokasi atau propaganda daripada pihak penduduk,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Iklan

Muzzafar berkata, penduduk turut melahirkan rasa kecewa dengan insiden yang menyebabkan kecederaan kepada pihak polis dan orang awam kerana perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, isu pokok yang dipertikaikan adalah tindakan drastik operasi terbabit sedangkan masih terdapat beberapa kes berkaitan tanah tersebut yang sedang menunggu perbicaraan di mahkamah.

Iklan

“Perintah yang dikeluarkan mahkamah hanya membenarkan pintu atau tingkap dipecah masuk untuk dikunci semula, bukannya merobohkan rumah tetapi pihak berkuasa mentafsirkannya sehingga berlaku perobohan.

“Kami benar-benar tergamam dengan tindakan tersebut. Ia adalah detik hitam kerana jelas perintah tidak menyebut perobohan, namun ia tetap dilakukan,” ujarnya.

Sebelum itu, media melaporkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tiga lelaki ditahan untuk siasatan kes kecederaan di kepala yang menimpa Sulizmie Affendy.

Sulizmie kemudian telah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).