SINGAPURA – Biro Narkotik Pusat (CNB) menahan lapan warga Singapura dalam serbuan besar-besaran membabitkan rokok elektronik (vape) di Telok Blangah, Hougang dan Boon Lay pada 10 September lalu.
Operasi selama enam jam itu melibatkan lebih 20 anggota termasuk Pasukan Khas CNB yang lazimnya menjalankan operasi berisiko tinggi.
Dalam serbuan berkenaan, pihak berkuasa merampas lebih 400 pod rokok elektronik atau Kpod yang dipercayai mengandungi etomidate selain pelbagai produk vape dan wang tunai berjumlah S$22,000 (RM72,160).
Seorang lelaki berusia 26 tahun yang disyaki pengedar ditahan di kolong sebuah blok flat tiga bilik di Telok Blangah ketika berurusan dengan seorang pembeli berusia 28 tahun. Kedua-duanya cuba melawan, namun berjaya ditundukkan dan digari oleh anggota CNB.
Hasil pemeriksaan lanjut ke atas unit flat berkenaan menemukan 327 Kpod berisi etomidate, barangan berkaitan vape serta bahan pembungkusan.
Siasatan turut membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 26 tahun di dalam rumah itu serta seorang pembeli berusia 23 tahun di luar unit berkenaan.
Pada masa sama, sebuah pasukan CNB lain mengejar seorang lelaki bermotosikal yang keluar dari flat tersebut sebelum berjaya dipintas di Braddell Road. Pemeriksaan mendapati dua bungkusan mengandungi lima Kpod di bawah tempat duduk motosikalnya.
Dalam serbuan berasingan di Hougang Avenue 9, dua lelaki berusia 29 dan 32 tahun ditahan atas kesalahan berkaitan dadah. Turut ditemui wang tunai S$20,818 (RM68,300), 498 yuan (RM320) dan RM5,800.
Di Boon Lay, seorang lelaki berusia 23 tahun dan seorang wanita berusia 18 tahun ditahan bersama lima pod vape berisi etomidate. Wanita berkenaan dipercayai sedang menunggu untuk mengambil lebih banyak Kpod daripada suspek lelaki terbabit.
Menurut CNB, tindakan tegas ini adalah sebahagian daripada penguatkuasaan baharu selepas 1 September apabila etomidate diwartakan sebagai dadah terkawal Kelas C.
Jika sabit kesalahan mengedar, pesalah boleh dipenjara antara dua hingga 10 tahun serta dikenakan sebatan antara dua hingga lima kali.
Sehingga 8 September, seramai 232 individu telah ditahan atas kesalahan berkaitan vape. – Agensi