KUANTAN - Seorang wanita terjerumus ke dalam perangkap sindiket penipuan 'phone scam' hingga kerugian RM230,000 selepas terpedaya dengan dakwaan terlibat aktiviti pengubahan wang haram,
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 31 tahun itu dipercayai terpaksa berbuat demikian kerana bimbang ditangkap selepas suspek mengugut dengan menunjukkan waran tangkap palsu.
Menurutnya, kejadian malang menimpa mangsa bermula selepas menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai pegawai dari Pusat Kawalan Komunikasi Putrajaya, 5 Ogos lalu.
"Panggilan itu seterusnya disambungkan kepada pegawai polis dan pendakwa raya selepas didakwa terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram hingga waran tangkap dikeluarkan ke atasnya.
"Mangsa seterusnya diarah supaya melapor diri melalui aplikasi WhatsApp dan diminta membuat beberapa transaksi kewangan ke dalam akaun yang diberikan," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Yahaya berkata, akur dengan arahan itu, mangsa telah membuat lapan transaksi pindahan wang menggunakan simpanannya secara berperingkat ke beberapa akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM230,000 dalam tempoh 22 hingga 29 Ogos lalu.
"Mangsa tampil membuat laporan polis di sebuah balai di Temerloh setelah menyedari ditipu," katanya.
Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan agar segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan sekiranya menerima panggilan yang meragukan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
"Sebarang maklumat atau keraguan berkaitan kes seumpama ini boleh disalurkan terus kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran," katanya.