JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya menumpaskan cubaan menyeludup air zamzam dan cecair rokok elektronik dengan nilai rampasan keseluruhan termasuk duti serta cukai dianggarkan mencecah RM3.42 juta.
Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, kejayaan itu hasil dua operasi berasingan melibatkan pemeriksaan kontena di Zon Bebas Pelabuhan Johor dan sekatan sebuah lori di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah bulan lalu.
Menurutnya, dalam kes pertama pada 5 Ogos lalu, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Pasir Gudang menahan sebuah kontena 40 kaki, sebelum tiga lagi kontena disita pada 14 Ogos di Bay Pemeriksaan Kontena, Zon Bebas Pelabuhan Johor.
“Pemeriksaan rapi menemukan sebanyak 21,582 botol air zamzam bersamaan 107,910 liter tanpa permit import.
“Air zamzam adalah barang larangan dan hanya boleh diimport dengan lesen mengikut Butiran 35, Bahagian I, Jadual III, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Dagangan ini diikrarkan dalam dokumen Kastam sebagai Holy Waterordinary water,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Beliau memberitahu nilai dagangan berkenaan dianggarkan RM2.58 juta dengan jumlah duti serta cukai RM647,460, menjadikan keseluruhan kira-kira RM3.23 juta.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Peraturan 30(1), Peraturan Zon Bebas 1991.
Sementara itu, bagi kes kedua pula, Aminul Izmeer berkata, pihaknya berjaya menggagalkan cubaan menyeludup cecair vape selepas imej mencurigakan dikesan pada sebuah lori Hino ketika melalui Unit Mesin Pengimbas, Customs Border Management (CBM) Cawangan Eksport Stesen Gelang Patah pada 6 Ogos lalu.
“Pemeriksaan lanjut menemui 7,680 unit cecair rokok elektronik (E-liquid Pods) yang disembunyikan di bahagian belakang tempat duduk pemandu, selain 84 Bobbins Automotive Wire yang diikrarkan dalam Borang Kastam 2.
“Sebuah lori bernilai RM130,000 turut disita, menjadikan nilai rampasan kes ini berjumlah RM185,576 termasuk cukai. Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967," katanya.