Tertelan rantai kunci 'ultraman' semasa makan biskut

Iklan
Rantai kunci ultraman berkenaan berjaya dikeluarkan. Foto Agensi

TAIPEI - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di Yilan, Taiwan, berdepan detik cemas apabila secara tidak sengaja tertelan rantai kunci ultraman ketika menikmati biskut sambil menonton televisyen.

Media tempatan melaporkan pada Rabu, susulan itu ibu bapanya segera membawa mangsa ke Hospital Luodong Boai selepas menyedari kejadian tersebut.

Iklan
Iklan

Hasil pemeriksaan sinar-X mendapati objek berukuran kira-kira 2.8 sentimeter x 1.4 sentimeter itu telah berada di dalam usus kecil kanak-kanak tersebut.

Menurut pakar pediatrik, Dr Hsieh Chintung, keadaan mangsa stabil dan tiada tanda-tanda kesakitan atau halangan pada sistem penghadaman.

Iklan

Justeru, pembedahan tidak diperlukan dan keluarga dinasihatkan untuk memantau keadaannya di rumah.

“Sekiranya muncul gejala seperti sakit perut yang teruk, muntah berterusan atau sembelit, rawatan kecemasan perlu segera dilakukan,” katanya.

Iklan

Ibu bapa kanak-kanak itu turut berkongsi imej sinar-X berkenaan di media sosial dengan hantaran bernada gurauan.

“Hari ini misi ultraman telah selesai dan dia sudah pulang,” memetik hantaran tersebut.

Beberapa hari kemudian, keluarga terbabit memaklumkan bahawa rantai kunci itu akhirnya berjaya dikeluarkan secara semula jadi tanpa sebarang komplikasi.

Insiden berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi lucu netizen yang menganggap seolah-olah 'ultraman sedang mengembara dalam badan' kanak-kanak itu, namun ramai turut meluahkan rasa lega kerana kejadian berakhir dengan selamat. – Agensi