BARU sahaja dunia dikejutkan dengan rusuhan di Indonesia, kini gempar pula isu protes lebih dahsyat di Nepal.
Hanya kerana media sosial disekat, negara kecil di banjaran Himalaya itu bergolak dengan rusuhan berdarah hingga meragut sekurang-kurangnya 22 nyawa.
Ini semua gara-gara keputusan kerajaan menutup lebih 20 platform media sosial kononnya untuk membendung berita palsu. Generasi muda, khususnya anak-anak Gen Z bangkit menentang kerana mereka anggap ruang bersuara cuba dibisukan.
Padahal, anak muda Nepal memang sudah lama resah dengan isu pengangguran dan rasuah. Jadi, apabila ruang bersuara dirampas, amarah mereka meledak tanpa boleh dibendung.
Lebih pelik, pemimpin yang menyangka sekatan itu akan meredakan keadaan, rupa-rupanya menambah minyak ke dalam api.
Ramai rakyat turun ke jalanan sehingga berlakunya pertumpahan darah dan akhirnya seorang Perdana Menteri terpaksa tunduk meletak jawatan.
Kisah Nepal ini wajar jadi pengajaran. Benar, berita palsu boleh merosakkan masyarakat. Tapi membungkam semua suara bukanlah jalan keluar.
Menyekat media sosial ibarat cuba menghentikan air sungai dengan sebatang penyapu, tetap akan melimpah mencari laluan lain.
Jangan ditutup mulut rakyat, tetapi bukalah minda mereka. Ajar rakyat menilai maklumat, beri ruang bersuara dengan telus dan tunjukkan integriti dalam kepimpinan.
Bila kepercayaan terbina, fitnah tidak berakar. Bila keyakinan kukuh, rakyat memilih peti undi, bukan berarak di jalan raya.
Pemimpin juga mesti sentiasa dekat dengan rakyat. Terimalah hakikat bahawa rakyat lebih percayakan kepada pemimpin yang sanggup turun padang, melihat sendiri kesusahan mereka berbanding hanya mendengar laporan indah di dada-dada akhbar mahupun televisyen.