SHAH ALAM – Seorang pelabur hartanah, Muhammad Ishaq N Marazi yang juga pemilik rumah di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru berkongsi pandangan projek pembangunan semula kawasan berkenaan perlu diteruskan tanpa diganggu pihak luar.
Menurut pemuda berusia 36 tahun itu, dia antara 329 pemilik hartanah yang terlibat dan telah menandatangani persetujuan untuk bekerjasama dengan pemaju selepas majoriti penduduk memberi kata sepakat sejak 2018.
"Saya orang yang ke-230 menandatangani perjanjian selepas lihat majoriti sudah bersetuju. Kira-kira 70 peratus pemilik sudah berbuat demikian sejak 2018 hingga 2019 lagi.
"Malah, sejak 2016 penduduk bersepakat mahu memajukan hartanah ini selepas melihat kejayaan Kerinchi Residence yang dibangunkan pemaju sama," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, pelakon dan aktivis, Rafidah Ibrahim mendakwa pemaju bersungguh-sungguh mahu memastikan penduduk diusir dan keluar daripada kawasan itu untuk tujuan pengambilalihan tanah.
Dakwanya lagi, pemaju sebelum ini turut mengupah gengster bagi mengusir penduduk dan kali ini menggunakan khidmat polis pula.
Muhammad Ishaq berkata, sebahagian besar pemilik di Kampung Sungai Baru terdiri daripada golongan profesional seperti peguam, jurutera serta usahawan, justeru keputusan dibuat dengan pertimbangan matang.
Katanya, kelebihan projek ini akan memberi manfaat besar kepada pemilik termasuk pampasan berbentuk kondominium dua unit setiap seorang.
"Kalau flat lama, sewanya hanya sekitar RM800 hingga RM1,200 sebulan. Tapi dengan unit kondominium baharu, satu unit studio di kawasan sini sahaja sudah boleh cecah RM2,000 hingga RM2,500 sebulan.
"Bayangkan kalau dua unit disewakan, pendapatan boleh mencecah RM4,000 hingga RM6,000 sebulan," jelasnya.
Sebagai pemilik rumah bertanah, dia turut bersetuju menyerahkan tanah untuk pembangunan semula kerana memikirkan keadaan penduduk flat lama yang sudah terlalu uzur.
Namun, dia kesal apabila terdapat pihak tertentu yang cuba mempengaruhi sebahagian pemilik untuk menolak projek itu.
"Hari ini ada provokasi yang menghasut pemilik rumah 'landed' supaya tidak berganjak.
"Sedangkan ada lebih 300 pemilik lain yang menunggu projek ini dijalankan secepat mungkin. Kalau benar perjuangkan hak Melayu, sepatutnya bantu pemaju percepatkan projek, bukannya sabotaj," ujarnya.
Tambahnya, lebih 70 peratus rumah dan flat di kawasan berkenaan telah dirobohkan, manakala sebahagian penduduk kini terpaksa menunggu di rumah transit sejak empat hingga lima tahun lalu.
"Mustahil projek ini boleh dibatalkan kerana rumah mereka sudah tiada. Tugas kita sekarang ialah memastikan pemaju menunaikan janji, bukan menyebarkan fitnah atau maklumat palsu," katanya lagi.
Muhammad Ishaq menegaskan, apa yang penting sekarang adalah memastikan pemilik benar-benar mendapat manfaat yang dijanjikan dalam usaha sama ini, bukan menggagalkan projek yang sudah hampir mustahil untuk dipatahkan semula.
Sinar Harian melaporkan, kekecohan tercetus pada Khamis apabila sekumpulan penduduk enggan memberi kerjasama semasa operasi pengosongan Kampung Sungai Baru.
Dalam insiden berkenaan, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di bahagian muka ketika cuba membubarkan penduduk yang merempuh kawalan polis untuk memasuki kawasan operasi.
Lokasi sekitar kampung terbabit dikawal ketat polis seawal jam 7 pagi, manakala anggota keselamatan turut mengarahkan penduduk bersurai bagi memastikan situasi berjalan lancar.