Juragan hilang bot ekspres karam selepas berlanggar dengan kapal kargo

Iklan
Chye Mee (gambar kecil) hilang selepas bot ekspresnya karam akibat berlanggar dengan kapal kargo di Tanjung Kunyit. Foto JBPM Sarawak

SIBU - Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas bot ekspres yang dikemudikannya karam akibat berlanggar dengan sebuah kapal kargo, berhampiran kilang papan lapis di Tanjung Kunyit, Sungai Rajang, pada jam 6.27 petang Selasa.

Mangsa yang hilang dikenali sebagai Hui Chye Mee, 64, yang juga pemilik bot ekspres berkenaan.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua hari ini, dengan kerjasama agensi lain termasuk polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Setakat ini mangsa masih belum ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Andy berkata, sebaik menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada Balai Polis Lanang pada jam 12.17 tengah malam Rabu, pasukan keluaran operasi (PKO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral bergerak ke balai polis tersebut, bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Bagaimanapun, atas faktor keadaan gelap dan keselamatan pihak bomba dan polis bersetuju operasi mencari dan menyelamat hanya dimulakan pada siang hari semalam.

Iklan

Dalam laporan polis yang dibuat selepas kejadian itu, operator kapal kargo itu mendakwa apabila mengesan bot ekspress terbabit itu datang dari arah hadapan, beliau memperlahankan kelajuannya namun bot ekspress itu membuat lencongan secara tiba-tiba sebelum melanggar bahagian hadapan kapal kargo itu.

Kesan pelanggaran itu, bos ekspress itu kemudian karam dan muatannya terapung di atas permukaan sungai, namun tiada kelibat penumpang dikesan.

Maklumat awal polis menyatakan bot ekspres itu membawa barangan jualan untuk dihantar ke rumah panjang di sepanjang Sungai Rajang dan Sungai Pasin, manakala kapal kargo itu sedang membawa muatan kontena ketika kejadian.

Difahamkan, anak lelaki mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Lanang mengenai kehilangan bapanya selepas kejadian tersebut. - Bernama