KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih membuat kawalan di tapak operasi pengosongan terhadap 26 hak milik individu merangkumi 37 rumah teres di Kampung Sungai Baru di sini pada Khamis.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati beberapa kenderaan PDRM dilihat masih berada di tapak operasi setakat jam 7.30 malam ini.
Namun, tidak dapat dipastikan sama ada proses operasi berkenaan sudah selesai dilaksanakan.
Keadaan di tapak operasi juga dilihat tenang dengan hanya beberapa individu berkumpul di kawasan berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan PDRM bersama beberapa agensi penguat kuasa menjalankan operasi pengosongan terhadap 26 hak milik individu merangkumi 37 rumah teres di Kampung Sungai Baru.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, tindakan itu dilaksanakan selepas melalui beberapa proses perolehan yang ditetapkan dengan perintah pengosongan dikeluarkan oleh mahkamah.
Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Flat Kampung Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.
Sesetengah penduduk terutama penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.