GUA MUSANG - Mayat seorang lelaki warga Bagladesh ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tetakan pada leher dan dada kiri berdekatan dengan sebuah rumah kongsi kebun di Sonchong di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu kira-kira jam 3.30 petang.
Iklan
Iklan
“Mangsa dijumpai berdekatan sebuah rumah kongsi kebun dan pemeriksaan mendapati terdapat kesan tetakan dipercayai menggunakan senjata tajam.
“Mayat lelaki terbabit kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ujarnya, motif kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengesan suspek yang terlibat sedang giat dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 09-9121222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.