SHAH ALAM - Tindakan pemaju melaksanakan pengosongan terhadap 179 penduduk Kampung Sungai Baru berasaskan perintah mahkamah melalui Order 89 disifatkan melampaui batas kemanusiaan.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, operasi itu juga tergesa-gesa memandangkan rayuan penduduk dijadualkan dibicarakan di Mahkamah Rayuan pada 3 Oktober depan.
Jelasnya, pada 20 Ogos lalu, pemaju memperoleh perintah ex-parte daripada mahkamah yang memberi kebenaran untuk memasuki kawasan termasuk membuka pintu, tingkap, dinding dan bumbung rumah bagi tujuan pengambilalihan.
Namun, katanya, pemaju sepatutnya menunjukkan budi bicara dengan menunggu proses rayuan selesai terlebih dahulu.
“Menghalau penduduk seolah-olah mereka ‘penceroboh’ di tanah sendiri adalah satu tindakan yang zalim. Lebih membimbangkan, perintah Order 89 jelas tidak membenarkan sebarang perobohan atau penggunaan jentera berat.
“Namun, penguatkuasaan hari ini melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan tindakan agresif pihak pemaju, sekali gus menafikan hak penduduk untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya.
“Pas menzahirkan solidariti penuh buat penduduk Kampung Sungai Baru yang terpaksa berdepan kesusahan mendadak akibat pengosongan ini. Simpati juga dirakamkan kepada anggota polis yang dilaporkan cedera ringan ketika kekecohan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kekecohan tercetus apabila sekumpulan penduduk enggan memberi kerjasama semasa operasi pemotongan bekalan elektrik dijalankan di beberapa rumah di Kampung Sungai Baru.
Dalam insiden berkenaan, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di bahagian muka ketika cuba membubarkan penduduk yang merempuh kawalan polis untuk memasuki kawasan operasi.
Lokasi sekitar kampung terbabit dikawal ketat polis seawal jam 7 pagi, manakala anggota keselamatan turut mengarahkan penduduk bersurai bagi memastikan situasi berjalan lancar.
Ahmad Fadhli berpandangan, kejadian di Kampung Sungai Baru adalah gambaran awal atau ‘teaser’ sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) dilaksanakan kelak.
Tambah Ahli Parlimen Pasir Mas itu, pemaju akan diberi kuasa penuh tanpa budi bicara dan rakyat berisiko dihalau dari kediaman sendiri.
“Pas akan terus memantau rapat perkembangan isu ini dan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada penduduk yang terjejas.
“Kami meminta seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama bangkit membela penduduk Kampung Sungai Baru serta membantah RUU URA yang dijangka dibentangkan semula di Parlimen pada Oktober ini,” ujarnya.