Mahkamah halang ‘Edisi Siasat’, ‘Edisi Khas’ di Telegram sebar 33 artikel

Iklan
Telegram Messenger Inc dan pentadbir dua saluran Telegram ‘Edisi Siasat’ dan ‘Edisi Khas’ dihalang oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis daripada menyebar atau menerbitkan 33 artikel yang memudaratkan.

KUALA LUMPUR – Telegram Messenger Inc dan pentadbir dua saluran Telegram ‘Edisi Siasat’ dan ‘Edisi Khas’ dihalang oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis daripada menyebar atau menerbitkan 33 artikel yang memudaratkan.

Hakim, Mahazan Mat Taib mengeluarkan perintah tersebut selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Iklan
Iklan

Sementara itu, peguam, Datuk SN Nair yang mewakili MCMC selaku plaintif berkata, mahkamah membenarkan perintah injunksi larangan supaya menghalang pihak berkenaan selaku defendan daripada terus menulis semula artikel terbabit.

“Ia termasuk perintah supaya defendan termasuk ejen, pekerja dan sekutu mereka tidak menyebar atau menerbitkan perkara berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding yang dijalankan dalam kamar.

Iklan

Bagaimanapun beliau berkata, mahkamah menolak permohonan plaintif bagi perintah injunksi mandatori yang mengarahkan semua defendan memadamkan semua kandungan palsu serta-merta, mengancam dan jelik yang dirujuk sebagai kandungan memudaratkan daripada saluran berkenaan.

Katanya, plaintif juga gagal mendapatkan perintah sama yang mengarahkan Telegram Messenger Inc selaku defendan ketiga untuk menutup mana-mana saluran terbabit atau baharu yang berkaitan dengannya.

Iklan

Beliau berkata, prosiding ini akan diteruskan untuk pengurusan kes pada 24 September depan.

Pada 21 Mei lalu, MCMC selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan dua individu yang tidak dikenali selaku pentadbir saluran Telegram ‘Edisi Siasat’, Edisi Khas serta Telegram Messenger Inc sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa saluran berkenaan terlibat dalam kempen terancang yang menyasarkan Institusi Diraja, badan atau institusi awam sejak 6 Februari 2024.

MCMC turut mendakwa semua defendan menyebarkan berita palsu dan mengelirukan bertujuan mengganggu ketenteraman awam serta melemahkan kepercayaan terhadap tadbir urus negara.

Plaintif menyatakan segala dakwaan tersebut sebagai rekaan dan tidak disokong dengan sebarang bukti.

Katanya, penerbitan berita palsu berniat jahat untuk mencetus ketidakpuasan hati dan kebencian orang awam terhadap kerajaan Malaysia.

Tindakan berkenaan boleh menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi kerajaan dan menimbulkan ketakutan orang awam berhubung isu privasi dan keselamatan data.

Plaintif mendakwa, sehingga tarikh pemfailan tindakan berkenaan, saluran aplikasi itu masih terus menerbit dan menyebarkan siri kandungan jelik melampau, palsu dan mengancam terhadap Institusi Diraja Malaysia dan institusi awam.

Susulan itu, MCMC memohon satu deklarasi bahawa defendan pertama dan kedua telah membenarkan dan memudahkan penggunaan saluran-saluran itu untuk menerbit dan mengedarkan kandungan memudaratkan terhadap pihak lain.

Mereka juga memohon deklarasi bahawa defendan ketiga membantu, bersubahat, memudahkan dan menyumbang kepada penerbitan dan pengedaran kandungan-kandungan berkenaan oleh defendan pertama dan kedua dengan tidak memadamkan saluran berkenaan apabila diarahkan secara statutori.

Pada 19 Jun lalu, MCMC dalam kenyataan berkata, pihaknya telah mengambil langkah tegas dengan memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran di platform Telegram, iaitu ‘Edisi Siasat’ dan ‘Edisi Khas’.

MCMC berkata tindakan itu, merupakan yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial, memandangkan media berkenaan merupakan pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi.