ISTANBUL - Larry Ellison, pengasas bersama dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Oracle, buat pertama kalinya muncul sebagai individu terkaya dunia pada Rabu, mengatasi Elon Musk, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Bloomberg.
Kekayaan Ellison meningkat sebanyak AS$101 bilion setakat 10.10 pagi waktu New York (1410GMT), susulan pengumuman keputusan suku tahunan Oracle yang menunjukkan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan awan sekali gus meletakkan syarikat itu di landasan untuk meraih keuntungan tertinggi.
Menurut Rangkaian CNBC, syarikat itu mendedahkan bahawa permintaan untuk pelayan kecerdasan buatan (AI) telah mendorong peningkatan pendapatan pangkalan data berbilang awan sebanyak 1,529 peratus daripada Amazon, Google dan Microsoft pada suku terbaharu syarikat itu.
Menurut Bloomberg Billionaires Index, peningkatan itu melonjakkan kekayaan Ellison kepada AS$393 bilion, mengatasi kekayaan Musk sebanyak AS$385 bilion. Ia merupakan kenaikan sehari terbesar yang pernah dicatatkan oleh indeks itu.
Pada 2021, Musk pernah memegang gelaran manusia terkaya di dunia untuk seketika sebelum kehilangan kedudukan itu kepada Jeff Bezos dari Amazon dan Bernard Arnault dari LVMH.
Beliau memegang gelaran itu selama lebih 300 hari sebelum mendapatkannya semula tahun lepas.
Sebahagian besar nilai bersih kekayaan Ellison dilaburkan dalam Oracle, syarikat perisian pangkalan data yang diasaskannya bersama dan kini beliau berperanan sebagai pengerusi serta ketua pegawai teknologi. Ellison kini berusia 81 tahun.
Oracle melaporkan peningkatan ketara dalam tempahan dan memberikan unjuran optimis bagi perniagaan infrastruktur awannya. Ini menyaksikan sahamnya, yang telah pun meningkat 45 peratus tahun ini setakat penutupan dagangan pada Selasa, melonjak 35.9 peratus pada Rabu.
Sebagai perbandingan, saham Tesla telah merosot 13 peratus tahun ini. Musk berpotensi menjadi trillionaire pertama dalam sejarah jika beliau mencapai beberapa sasaran, menurut pelan pampasan yang dicadangkan oleh lembaga pengarah Tesla. - Bernama-Anadolu