KUALA LUMPUR - Kombinasi sains forensik dengan teknologi mampu memperkukuh siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan proses perundangan dan siasatan lebih mantap.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kerjasama antara agensi keselamatan, badan kehakiman dan pakar forensik penting untuk membolehkan kes-kes dibuktikan di mahkamah secara lebih berkesan.
Katanya, pemahaman pihak kehakiman terhadap penggunaan sains forensik juga perlu dipertingkatkan supaya pendapat pakar selari dengan bentuk jenayah yang semakin kompleks.
“Gabungan di antara agensi-agensi serta badan berkaitan akan memperkemaskan siasatan PDRM terutama dalam membuktikan kes di mahkamah.
“Kefahaman itu perlu ada bagi mewujudkan keselarasan dan memudahkan proses perundangan berjalan dengan baik, berasaskan teknologi terkini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Simposium Sains Forensik Kebangsaan Untuk Penguatkuasaan Undang-Undang (NAFSLE) edisi keenam di Maktab PDRM, Cheras pada Khamis.
Beliau berkata, kombinasi antara teknologi, pengalaman dan kefahaman agensi berkaitan amat penting bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
Jelasnya, perkembangan pesat teknologi menuntut PDRM untuk sentiasa menggunakan pendekatan forensik bagi merungkai pelbagai bentuk jenayah.
“Penerapan nilai teknologi maklumat (IT) terkini dan juga sains forensik perlu digabungkan bagi memastikan semuanya berjalan dengan baik dan lancar,” katanya.