RUU baru bantu penyelarasan sekolah agama lebih baik - Ikram Perak

Iklan
Abdul Aziz

IPOH - Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 diyakini mampu memastikan penyelarasan institusi pendidikan agama swasta berjalan lebih baik.

Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Perak, Abdul Aziz Wok Ghazali berkata, langkah itu penting kerana sehingga kini wujud pelbagai sekolah agama swasta yang beroperasi dengan cara tersendiri termasuk tidak membuat pendaftaran sah dengan pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan itu boleh menimbulkan masalah dari segi pengurusan, kualiti pendidikan dan juga kebajikan pelajar yang mengikuti pengajian di sekolah berkenaan.

"Dengan adanya enakmen baharu ini, semua aspek melibatkan pendaftaran, pengurusan, pemantauan dan pendanaan sekolah agama swasta dapat dianalisis dan disusun secara lebih sistematik.

Iklan

"Kita yakin ia akan memberi masa depan yang lebih baik untuk sekolah-sekolah ini, bukan sahaja dari segi kelangsungan tetapi juga keupayaan mereka untuk bersaing secara sihat," katanya dalam sidang akhbar Karnival Kita Anak Malaysia (KAMI) 2025 di sini pada Khamis.

Beliau menjelaskan, terdapat pelbagai spektrum sekolah agama swasta di Perak dengan tahap pengurusan dan fasiliti yang berbeza, malah sesetengahnya bergantung kepada kemampuan kewangan pengasas atau komuniti tertentu.

Iklan

Katanya, Ikram sendiri melalui jaringan pendidikan Musleh mengendalikan tujuh sekolah swasta di Perak antaranya di Manjung, Kuala Kangsar, Taiping dan Perak Tengah.

"Saya percaya enakmen ini juga akan membuka ruang untuk sekolah-sekolah agama swasta mendapat akses lebih mudah kepada sumber dana dan bantuan. Bila ada ketelusan dan standard, sudah tentu lebih banyak pihak akan tampil memberikan sokongan," jelasnya.

Abdul Aziz menambah, pendidikan agama merupakan teras penting dalam membentuk generasi muda yang berakhlak dan berdaya tahan, justeru sebarang usaha kerajaan negeri untuk memperkasakan institusi pendidikan itu wajar disokong sepenuhnya.

"Bagi kami di IKRAM, apa sahaja usaha untuk menambah baik, memperkasa dan menyelaraskan sekolah agama adalah sesuatu yang amat kami alu-alukan," katanya.

RUU Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 yang diluluskan dalam Persidangan DUN Perak pada Rabu mengandungi lapan bahagian dan 30 fasal, menggantikan peruntukan undang-undang sedia ada iaitu Enakmen 1996 yang tidak pernah dipinda sejak lebih 20 tahun lalu.