Wakil rakyat berjoget di kelab malam ketika penduduk berdemonstrasi

Iklan
Tular anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Provinsi Sumatera Utara daripada blok Gerindra sedang berjoget sambil menikmati minuman keras di kelab malam

MEDAN – Puluhan mahasiswa berhimpun di hadapan pejabat Dewan Pimpinan Daerah (DPD) Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) Sumatera Utara di Jalan Sudirman, Medan, pada Rabu bagi menuntut pemecatan seorang wakil rakyat, H Ajie Karim selepas video pemimpin itu berhibur di sebuah kelab malam tular di media sosial.

Rakaman bertarikh 31 Ogos lalu itu menunjukkan Ajie Karim, anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Provinsi Sumatera Utara daripada blok Gerindra sedang berjoget sambil menikmati minuman keras.

Iklan
Iklan

Ketika itu, demonstrasi besar-besaran sedang berlangsung di wilayah berkenaan, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat dan mahasiswa.

Himpunan mahasiswa Medan di hadapan pejabat Dewan Pimpinan Daerah (DPD) Gerindra, Sumatera Utara di Jalan Sudirman, Medan berlangsung pada Rabu.

Iklan

Jurucakap mahasiswa, Bagus Permadi menegaskan, tindakan tersebut jelas mencemarkan nama baik parti serta menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap wakil yang sepatutnya menjaga etika dan maruah sebagai pemimpin.

Beliau berkata, kejadian itu bukan sahaja menimbulkan keresahan tetapi juga melanggar undang-undang serta kod etika parti yang mengharuskan setiap anggota menjaga imej dan teladan politik.

Iklan

Dalam perhimpunan itu, mahasiswa turut mendesak kepimpinan Gerindra Sumatera Utara mengambil tindakan segera terhadap Ajie Karim termasuk pemecatan sebagai wakil rakyat dan ahli parti.

Mereka menegaskan parti perlu bertindak secara telus serta mengumumkan hasil keputusan kepada umum bagi memastikan keyakinan rakyat tidak terus terhakis.

Menurut Bagus, insiden itu menjadi refleksi penting bahawa rakyat, khususnya mahasiswa, menolak sebarang bentuk salah laku moral dalam politik.

“Kami menyeru supaya reformasi moral dilaksanakan dan disiplin parti ditegakkan agar maruah rakyat tidak terus dihina oleh perilaku pemimpin yang tidak beretika,” katanya. -Agensi