Pulau Pinang yakin pulihkan AHD menjelang 2028

Iklan
Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang yakin akan memulihkan semula Akaun Hasil Disatukan (AHD) negeri tiga tahun lagi.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berketa, kerajaan negeri komited untuk memulihkan AHD negeri kepada hampir RM1 bilion menjelang tahun 2028, walaupun Pulau Pinang kini berdepan defisit hampir RM1 bilion sejak 2020.

Iklan
Iklan

“Saya komited sejak hari pertama bahawa menjelang 2028, AHD boleh dipulihkan kepada hampir RM1 bilion.

"Setiap tahun kita akan mencatatkan lebihan hasil kira-kira RM1,200 juta dan dalam beberapa tahun kita akan berjaya pulihkan semula kedudukan ini.

Iklan

"Pada masa itu juga saya tidak lagi mengetuai kerajaan negeri dan rizab RM1 bilion itu boleh digunakan oleh pengganti saya pada masa depan. Itu lah komitmen saya,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, Komtar di sini pada Khamis.

Tambah beliau, kerajaan Pulau Pinang merekodkan peningkatan ketara dalam komponen perbelanjaan sejak lima tahun lalu khususnya bagi melaksanakan pelbagai program kebajikan rakyat walaupun berdepan defisit setiap tahun bermula 2020.

Iklan

Menurutnya, AHD negeri sehingga 31 Disember 2019 berjumlah RM1.15 bilion namun baki itu terus berkurangan susulan penampungan defisit.

“Daripada baki AHD sebanyak RM1.15 bilion pada akhir 2019, ia susut kepada RM155.94 juta setakat 31 Disember 2024.

"Kedudukan terkini AHD sehingga 21 Mei 2025 adalah RM235.55 juta,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, Komtar di sini pada Khamis.

Menurut beliau, sebelum ini Pulau Pinang merekodkan lebihan hasil atau surplus sebanyak RM80.21 juta pada tahun 2019, namun defisit mula dicatatkan bermula 2020 hingga 2024.

“Dalam tempoh lima tahun ini, jumlah defisit terkumpul ialah RM998.88 juta.

"Defisit yang direkodkan sepanjang tempoh tersebut adalah 2020: RM267.06 juta (AHD berbaki RM887.77 juta), 2021: RM38.96 juta (AHD berbaki RM848.81 juta), 2022: RM159.97 juta (AHD berbaki RM688.84 juta), 2023: RM358.79 juta (AHD berbaki RM330.03 juta) dan 2024: RM174.09 juta (AHD berbaki RM155.94 juta)," ujarnya.

Kon Yeow berkata lagi, peningkatan perbelanjaan itu selaras dengan komitmen kerajaan negeri melaksanakan pelbagai agenda kebajikan rakyat seperti bantuan pendidikan, pembangunan sosial serta sokongan ekonomi walaupun berdepan kekangan kewangan.

"Antara program besar yang dilaksanakan termasuk Program i-Sejahtera sebanyak RM370.45 juta, Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang (Covid-19) sebanyak RM174.52 juta, Insentif dan Elaun Berkaitan Pengangkutan Awam sebanyak RM93.01 juta dan Peruntukan sekolah SJKC, SMJK, SM Persendirian Cina dan Sekolah Mubaligh sebanyak RM69.09 juta.

"Secara keseluruhan, jumlah perbelanjaan kerajaan negeri dari 2018 hingga 2025 mencecah RM1.02 bilion," katanya.

Tambah Kon Yeow, walaupun berdepan defisit, kerajaan negeri tetap fokus kepada matlamat membangunkan sosioekonomi, menyediakan peluang pekerjaan dan kebajikan rakyat selaras dengan gagasan Visi Penang2030.

“Lazimnya, walaupun berhadapan dengan situasi berkaitan, kerajaan negeri tetap dengan fokus utama untuk mentadbir dan membangunkan sosioekonomi negeri, terutamanya dalam konteks pengurusan kewangan, pelaburan, penyediaan peluang pekerjaan dan kebajikan seiring gagasan Visi Penang2030.

“Malah, saya berharap sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei lalu menjadi wadah utama untuk menyerahkan tampuk kepimpinan kepada pengganti yang kelak akan memastikan Pulau Pinang berada dalam kedudukan kewangan kukuh, termasuk menambah rizab negeri kepada RM1 bilion,” katanya.