SHAH ALAM - Dua lelaki ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM13.6 juta yang disorok di ruangan tempat duduk belakang sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat sekitar Banting pada Selasa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi dijalankan kira-kira jam 3.45 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
"Pasukan serbuan sebelum itu menahan sebuah kereta jenis Mercedes A200 yang dinaiki dua suspek terbabit.
"Pemeriksaan dijalankan menemui 30 bungkusan berisi dadah dipercayai ekstasi seberat 61.76 kilogram dan tiga bungkusan dadah jenis Eramin 5 seberat 9.85 kilogram yang ditemui di bahagian ruangan tempat duduk belakang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Khamis.
Katanya, suspek pertama berusia 47 tahun bekerja di sebuah syarikat kontraktor pembinaan dan mempunyai 19 rekod lampau berkaitan jenayah narkotik namun saringan air kencing terhadapnya didapati negatif.
"Suspek kedua berusia 42 tahun dan tidak bekerja selain didapati mempunyai 22 rekod lampau berkaitan narkotik.
"Hasil ujian air kencing suspek didapati positif dadah," katanya.
Menurutnya, kesemua dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang.
"Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita seutas rantai leher bernilai RM15,000 serta sebuah jam tangan bernilai RM500," katanya.