Remaja jadi 'transporter' seludup syabu ke Sarawak

Iklan
Shazeli (dua, kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam operasi yang dijalankan.

SHAH ALAM – Cubaan menyeludup dadah ke Sarawak terbongkar selepas seorang remaja lelaki dipercayai bertindak sebagai transporter ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Selasa.

Remaja terbabit yang merupakan warga tempatan itu turut dipercayai telah beberapa kali melakukan cubaan menyeludup dadah sebelum ini dengan menerima upah sebanyak RM1,000 bagi setiap penghantaran.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 5.10 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA.

"Suspek berusia 18 tahun itu ditahan di terminal berkenaan ketika menunggu penerbangan ke Sarawak.

Iklan

"Pemeriksaan lanjut menemui lima bungkusan plastik berisi syabu seberat 4.5 kilogram di dalam bagasi yang dibawa suspek," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini pada Khamis.

Iklan

Katanya, susulan tangkapan pertama itu membawa kepada serbuan kedua di sebuah kondominium di sekitar Kuala Lumpur.

"Serbuan dijalankan kira-kira jam 1.10 petang hari sama dan menahan dua lelaki tempatan.

"Pemeriksaan di premis berkenaan yang dijadikan stor simpanan dadah menemui 89 bungkusan plastik berisi syabu seberat 86.8 kilogram serta satu tong putih mengandungi cecair syabu seberat 5.9 kilogram," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati dua suspek yang ditahan di kondominium berperanan sebagai pembekal syabu kepada remaja yang ditahan di KLIA2.

"Bekalan dadah yang dipercayai diperoleh dari negara jiran ini untuk dipasarkan ke Miri, Sarawak.

"Semakan mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah lampau manakala dua lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod selain saringan air kencing yang dijalankan mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah," katanya.

Shazeli berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah bagi kes ini dianggarkan RM3.7 juta.

"Kesemua suspek kini direman tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 melibatkan sitaan sebuah kereta jenis Honda Accord bernilai RM25,000," katanya.