BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melalui cabang kewangan sosialnya, Sadaqa House bekerjasama dengan Waqaf An-Nur Corporation Berhad (Waqaf An-Nur) bagi melaksanakan Program Santuni Komuniti Johor sebagai usaha memperkasa masyarakat setempat.
Sejak tahun 2023, Waqaf An-Nur menjadi rakan utama di bawah Program Pembiayaan Mikro iTEKAD yang menyokong usahawan mikro daripada golongan asnaf dan B40.
Pada tahun ini, Waqaf An-Nur memperuntukkan sebanyak RM150,000 kepada Sadaqa House bagi memperkukuh inisiatif tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, suntikan dana daripada Waqaf An-Nur ke dalam model kewangan Islam Bank Islam memberi peluang kepada usahawan mikro meningkatkan mobiliti dan kapasiti bagi mengembangkan perniagaan melalui pembiayaan iTEKAD.
“Ini secara langsung memperluas keterangkuman kewangan kepada komuniti yang sebelum ini kurang mendapat akses kepada perkhidmatan perbankan.
“Bank Islam dan Waqaf An-Nur berkongsi matlamat yang sama untuk membangunkan segmen masyarakat yang kurang berkemampuan melalui instrumen kewangan sosial Islam," katanya pada majlis penyerahan dana zakat oleh Bank Islam bernilai RM47,000 kepada Klinik Waqaf An-Nur Pasir Gudang baru-baru ini.
Ujar Mohd Muazzam, pihaknya menghargai kerjasama antara dua organisasi ini dan berharap agar dapat memperluaskan lagi manfaat yang terhasil bagi kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.
Tambahnya, dana tersebut akan digunakan untuk pembelian sebuah mesin Auto Dialyser Reprocessor yang membantu meningkatkan kapasiti penggunaan daripada enam ke 12 pesakit dan suntikan Epoetin (EPO) yang membantu rawatan anemia pesakit dialisis dalam kalangan asnaf untuk tempoh lima hingga enam bulan.
Klinik Waqaf An-Nur Pasir Gudang telah memberi khidmat kepada lebih satu juta pesakit, dengan struktur yuran minimum sebanyak RM10 bagi lawatan klinik dan RM130 bagi sesi dialisis, menjadikannya pusat kesihatan penting bagi komuniti setempat.
Klinik dan pusat dialisis yang beroperasi dengan tenaga kerja seramai 30 orang itu juga mengendalikan 24 mesin dialisis dan merawat kira-kira 100 pesakit tetap setiap bulan.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Waqaf An-Nur, Bukhari Abd Rahman berkata, kerjasama dengan Bank Islam membuktikan bahawa wakaf korporat boleh dimanfaatkan secara strategik untuk menyokong pembangunan ekonomi komuniti.
“Kami percaya melalui platform seperti Sadaqa House manfaat wakaf dapat disalurkan secara berkesan untuk memberi impak berpanjangan sekali gus memperluas potensi golongan yang layak,” katanya.
Dalam pada itu, Bank Islam turut mengunjungi Tapak Projek Waqaf Tani Komuniti di Blok 12, RSK Taman Cendana II, Johor Bahru.
Dimulakan pada Ogos 2023, projek tersebut bertujuan membantu peserta dalam kalangan suri rumah B40 dan asnaf melalui pertanian fertigasi dengan tumpuan kepada tanaman bernilai tinggi seperti cili api centil serta sayur-sayuran seperti bak choy, kangkung, bendi, terung dan cendawan di atas tapak seluas 5,000 kaki persegi.
Produk nilai tambah seperti cili jeruk dan serunding cendawan turut dihasilkan dan dijual oleh kalangan suri rumah dan penghuni rumah pangsa berkenaan.
Bank Islam menyokong projek ini dengan dana sebanyak RM6,000 manakala kos operasi ditanggung sepenuhnya oleh Waqaf An-Nur.
Projek ini juga menggunakan sistem tadahan air hujan untuk fertigasi sekali gus menjadikannya mesra alam dan kos efektif.
Projek Waqaf Tani Komuniti yang berkonsepkan Waqaf Tali Pancing ini bukan sahaja menjana pendapatan malah menyumbang kepada aspek keselamatan makanan, menghidupkan semula tanah terbiar, membina kemahiran keusahawanan dan pertanian serta memupuk gaya hidup sihat.
Ia menjadi model teladan bagi komuniti lain yang ingin mencapai pemerkasaan sosioekonomi yang mampan.